Bagaimana untuk merakyatkan kefahaman mengenai SDG? Ini cadangan UN-Habitat
Irfan Faruqi
Jun 6, 2023 00:08 MYT
Jun 6, 2023 00:08 MYT
KUALA LUMPUR: Pengarah Hubungan Luar dan Penasihat Khas kepada Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Dr. Neil Khor berkata pihak kerajaan perlu menggubal dasar yang mudah difahami dan dilaksanakan, untuk membantu masyarakat memahami lebih lanjut mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Apabila kita bicarakan tentang Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), ramai belum betul-betul faham. Oleh itu, di Perhimpunan UN-Habitat kita berikan tiga cadangan. Pertama, kita perlu gubal dasar yang mudah untuk dilaksanakan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Seterusnya, cadangan yang diangkat untuk merakyatkan kefahaman mengenai SDG ialah dengan melaksanakan program berimpak tinggi.
“Kedua, program bandar sisa pintar atau waste wise city sebab tiap-tiap hari 2,000 lori penuh dengan sampah. Tiap-tiap hari dibuang ke dalam sungai serta laut.
“Seperti yang Pengarah Eksekutif UN-Habitat (Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif) kami cakap semasa dia menjadi Datuk Bandar, di Seberang Perai, Pulau Pinang, banjir berlaku sangat cepat kerana kita buang sampah ke dalam longkang.
“Katanya, sampah itu tidak ada kaki, tidak ada tangan, tidak boleh terbang, macam mana boleh masuk longkang. Jadi yang paling penting kita kena tingkatkan kesedaran kesedaran sangat penting untuk kita muhasabah cara kita hidup. Tidak mungkin kita buat longkang yang lebih besar, kadang di Malaysia ini bukan sampah sahaja masuk, tiba-tiba vacuum cleaner pun masuk,” katanya.
Cadangan seterusnya, Neil berkata rakyat perlu mengubah sikap dan gaya hidup agar dapat membantu merealisasikan pelaksanaan SDG secara menyeluruh.