Bagaimana untuk jadikan Felda hebat semula? Ini saranan Tok Pa
Israr Khalid
Julai 10, 2021 08:43 MYT
Julai 10, 2021 08:43 MYT
KUALA LUMPUR: Mungkinkah dek kerana perintah kawalan pergerakan (PKP), masyarakat lebih kerap memasak di rumah, lantas sedikit sebanyak menyumbang kepada lonjakan harga minyak sawit global, tertinggi sejak 13 tahun yang lalu?
Mungkin ini juga masa terbaik dimanfaatkan oleh mana-mana pihak yang terlibat, khususnya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), selaku agensi kerajaan yang mengusahakan tanah untuk ladang kelapa sawit.
Maka pada Rabu, kerajaan melancarkan inisiatif pelupusan hutang pinjaman peneroka sempena Sambutan Hari Peneroka 7 Julai lalu.
Selain meringankan tanggungan peneroka ketika menempuh waktu yang mencabar akibat penularan pandemik COVID-19 ini, ia juga satu usaha melibatkan mereka dalam arus perjuangan terbaharu agensi tersebut.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, inisiatif tersebut juga memperkemaskan pengurusan dan pentadbiran aset-aset milik Felda yang sebelum ini kurang berdisiplin.
“Sebelum ini rekod peneroka tidak lengkap, ladang-ladang juga diuruskan oleh pelbagai pihak. Ini satu kelemahan dalam pengurusan.
“Jadi buat pertama kalinya rekod yang lengkap sudahpun ada dan setiap peneroka akan diberikan penyata. Dia tahu berapa dia pinjam, yang dipotong pun dia tahu juga,” katanya.
Itu antara manfaat yang diperoleh para peneroka, selain daripada pengurangan tuntutan bayaran semula pinjaman dari RM1,000 sebulan kepada hanya RM250 hingga RM300 sahaja serta penghapusan penuh hutang pinjaman pembangunan asal dan tunggakan baja.
Sebagai sebuah agensi kerajaan yang besar dengan aset besar, Felda mengorak langkah yang diharap dapat menjana kembali pulangan kepada negara yang perlu bangkit pasca pandemik, pada masa sama, menuju sasarannya untuk disenarai sebagai antara syarikat global cemerlang dalam Fortune 500 menjelang 2040.
Maka untuk kembali hebat dan gah, Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa, mencadangkan beberapa perkara yang perlu diberi penekanan dalam keputusan dan tindakan Felda selepas ini.
“Pertama, kukuhkan keadaan sekarang ini, selesaikan masalah hutang dengan pengurangan hutang seperti di dalam inisiatif itu. Itu satu permulaan.
“Kedua, kita nak kurangkan beban hutang Felda dengan bantuan kerajaan, terbitan sukuk RM9.9 bilion dijamin oleh kerajaan dan bayaran prinsipal oleh kerajaan.
“Ketiga, kita nak pastikan Felda Global Ventures (FGV) prestasinya lebih cemerlang, dengan itu ia akan memberikan pulangan yang lebih baik kepada peneroka. Ini kerana 80 peratus sahamnya dimiliki oleh Felda.
“Yang keempat, paling penting, semua ini adalah isu tadbir urus dan pengurusan yang lebih cekap, dengan memanfaatkan teknologi terkini Revolusi Perindustrian 4.0 untuk melipat gandakan hasil dan pulangan dengan lebih efektif,” katanya ketika ditemu bual dalam Agenda AWANI pada Jumaat.
Tok Pa berkata, inisiatif pelupusan pinjaman yang diumumkan dapat memberi semangat untuk peneroka terus memberikan khidmat terbaik sambil dipermudahkan kehidupan mereka.
Dengan aset ladang seluas kira-kira 507,000 hektar yang dikerjakan oleh lebih 112,000 peneroka, tegas beliau, kerajaan mahu Felda menjadi sebuah institusi kebanggaan negara yang lestari.
#Agenda Awani
#Mustapa Mohamed
#Felda
#TOK PA
#COVID-19
#pandemik
#FGV
#PKP
#harga minyak
#kelapa sawit
#minyak
#Fortune 500
#disiplin
#pulangan
#peneroka
#ekonomi