Bagaimana terima semua pelajar cemerlang tanpa jejas kuota bumiputera? - MCA

Sinar Harian
Julai 2, 2024 12:30 MYT
Ka Siong membangkitkan kaedah untuk semua pelajar SPM kaum Cina yang mencapai 10A dapat diterima sekiranya dasar pengambilan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera tidak berubah.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu memperincikan butiran mengenai pelaksanaan kemasukan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cemerlang dalam program matrikulasi.

Ringkasan AI
  • Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diminta memperincikan butiran kemasukan semua lepasan SPM cemerlang dalam program matrikulasi untuk memastikan konsistensi dan mengelak percanggahan.
  • Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, mempersoalkan bagaimana program matrikulasi dapat menampung semua pelajar yang layak tanpa menjejaskan kuota bumiputera, terutama selepas pengumuman bahawa pelajar bukan Melayu yang mendapat 10A ke atas layak melanjutkan pengajian ke matrikulasi.
  • Ka Siong juga mempersoalkan kaedah pengambilan pelajar berdasarkan kapasiti tempat sedia ada dan bukannya jumlah pelajar bukan bumiputera, serta sama ada dasar baharu ini akan memastikan situasi menang-menang atau menyebabkan satu pihak terpaksa berkorban.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, tindakan tersebut bagi memastikan konsistensi untuk mengelak percanggahan antara yang dijanjikan dan dilaksanakan.
"Sekiranya pengumuman PM (Perdana Menteri) semalam dapat dilaksanakan sepenuhnya, maka ia adalah satu reformasi baharu yang patut dipuji oleh semua rakyat.
"Namun begitu, timbul persoalan bagaimana program matrikulasi dapat menampung semua pelajar yang layak tanpa menjejaskan kuota bumiputera," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengumumkan Kabinet bersetuju supaya pelajar bukan Melayu yang mendapat keputusan cemerlang SPM 10A ke atas layak melanjutkan pengajian ke matrikulasi.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut mempersoalkan kaedah yang bakal dilaksanakan berdasarkan dua prinsip utama walaupun Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.
Beliau juga membangkitkan kaedah untuk semua pelajar SPM kaum Cina yang mencapai 10A dapat diterima sekiranya dasar pengambilan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera tidak berubah.
"Setiap tahun, jumlah pelajar Cina yang memperoleh keputusan SPM cemerlang jauh melebihi jumlah yang diterima masuk program matrikulasi.
"Menurut jawapan Menteri Pendidikan dalam Parlimen pada 2019, kuota 10 peratus bukan bumiputera berdasarkan jumlah pengambilan dan bukan tempat yang disediakan.
"Maksudnya, walaupun pelajar bumiputera tidak mengisi semua tempat yang disediakan, maka pengambilan bukan bumiputera tidak boleh melebihi 10 peratus daripada jumlah pelajar dalam matrikulasi," ujarnya.
Justeru beliau mempersoalkan sama ada kerajaan merancang untuk membuat pengambilan berdasarkan kapasiti atau tempat sedia ada dan bukannya berdasarkan jumlah pelajar bukan bumiputera untuk menentukan kuota tersebut.
Selain itu Ka Siong berkata, program asas sains di Universiti Awam (UA) di bawah bidang kuasa Menteri Pengajian Tinggi hanya tersedia untuk pemohon bumiputera manakala program matrikulasi dikendalikan Kementerian Pendidikan.
"Dalam keadaan kekurangan tempat di matrikulasi, adakah kerajaan dapat memastikan satu situasi menang-menang untuk semua, atau adakah dasar baharu ini akan menyebabkan satu situasi 'zero sum game' yang mana satu pihak terpaksa berkorban.
"Diharapkan Perdana Menteri sudah mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan pelaksanaan janji ini secara praktikal," katanya. - Sinar Harian
#matrikulasi #Bumiputera #Wee Ka Siong #kuota pelajar
;