Bagaimana rupanya? Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 bakal dilancar kembali esok
Irwan Muhammad Zain
Julai 21, 2019 15:13 MYT
Julai 21, 2019 15:13 MYT
Beberapa bulan lagi, kita akan memasuki tahun 2020, tahun yang sangat dinanti-nantikan oleh semua rakyat Malaysia dan ia menjadi sangat penting.
Tahun 2020 dianggap penting bagi rakyat Malaysia kerana ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-6 pada tahun 1991, Perdana Menteri ke-4 Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini bergelar Tun dan merupakan Perdana Menteri ke-7) telah memperkenal Wawasan 2020.
Wawasan 2020 dilancarkan kerana Dr Mahathir mahu menyaksikan Malaysia berdiri sama gagah dari semua aspek dengan negara-negara maju yang lain.
Maka, tidak hairanlah pada 2018 Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Motac) yang diketuai Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz ketika itu memilih untuk menjadikan tahun 2020 sebagai tahun melawat malaysia.
Tahun Melawat Malaysia (TMM) pertama kali dilancarkan pada tahun 1990 dengan tema "Mengagumkan Malaysia. Tahun Perayaan" dengan mercu tanda terkenal di Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Abdul Samad telah dipaparkan sebagai logo rasmi Tahun Melawat Malaysia 1990, manakala orang utan digunakan sebagai maskot.
Siri pelaksanaan TMM
Kejayaan TMM 1990 telah mendorong kerajaan untuk melancarkan Tahun Melawat Malaysia 1994 dengan tema "Mengagumkan Malaysia. Sememangnya Banyak" dan orang utan sekali lagi digunakan sebagai maskot.
Tahun Melawat Malaysia ketiga pula dilancarkan pada tahun 2007 sempena Ulang Tahun Kemerdekaan ke-50 Malaysia manakala Tahun Melawat Malaysia keempat pula dilancarkan pada 2014 dengan slogan "Meraikan 1Malaysia Truly Asia".
Selepas sekian lama tidak ada kempen Tahun Melawat Malaysia, pada 2018 dilancarkan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang merupakan TMM ke-5.
Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dilancarkan di Chiang Mai, Thailand sempena ASEAN Tourism pada awal tahun 2018 oleh Nazri, seorang menteri yang sering kontroversi dan selalu muncul beritanya di media.
Logo Tahun Melawat Malaysia menerima respons negatif daripada netizen, namun Nazri yang sering kontroversi itu mempertahankan rekaan yang beliau dakwa dihasilkan oleh kakitangan kementerian yang diterajuinya tanpa sebarang bayaran.
Selepas beberapa bulan logo yang dikritik hebat oleh netizen itu dilancarkan, pentadbiran negara bertukar dari Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan.
Logo baharu?
Tempat Nazri diisi oleh Datuk Mohamaddin Ketapi, seorang ahli politik dari Sabah mewakili parti Warisan Sabah (Warisan), individu yang langsung tidak dikenali dan ramai tertanya-tanya siapakah beliau.
Kerana logo Tahun Melawat Malaysia 2020 dikritik hebat, maka Motac memutuskan untuk meminda rekaan termasuk memberi nilai tambah kepada rekaan logo itu.
Selepas sekian lama menanti, esok logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang telah dipinda dan diberi nilai tambah itu akan dilancarkan semula oleh menterinya, Datuk Muhamadin Ketapi yang masih kurang dikenali selepas lebih setahun menjawat jawatan tersebut kerana jarang muncul di media.
Ramai menantikan pindaan logo TMM2020 sebagai mana rakyat Malaysia menantikan kehadiran tahun 2020.
Adakah ia jauh lebih menarik atau ia akan terus menerima kecaman dari netizen yang sering pantas memberikan kritikan dan pandangan?
Esok adalah harinya!