Bagaimana REE dibawa keluar tanpa kelulusan dan pengetahuan MBI? - Saifuddin
Adie Sufian Zulkefli
Julai 30, 2023 18:42 MYT
Julai 30, 2023 18:42 MYT
ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, tidak mungkin ada pihak yang mampu masuk ke kompartmen 12 di Bukit Enggang, Sik dan membawa keluar unsur nadir bumi (REE) dari tanah milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) itu, tanpa pengetahuan anak syarikat kerajaan negeri tersebut.
Menurutnya, untuk sampai ke lokasi kejadian, sesiapa pun perlu melalui empat pagar keselamatan yang kesemuanya berpengawal.
Justeru katanya, tidak mungkin pencuri tersebut dapat melepasi keempat-empat pagar tersebut sekiranya mereka tidak diberi kebenaran untuk sampai ke lokasi kejadian oleh MBI.
"Tiga hari lepas saya sendiri ditemani oleh pasukan polis masuk sendiri ke lokasi insiden kecurian ini. Diatur oleh Ketua Polis Negeri Kedah kerana siri-siri tangkapan itu melibatkan kes itu.
"Di situ saya boleh tengok sendiri daripada jalan besar dia ada satu pos pengawal keselamatan kemudian pos, sebab premis itu adalah premis MBI, logistik, siapa yang letak kawalan keselamatan itu, MBI lah, bukit itu dia kena melalui empat pagar keselamatan. Empat tapisan," katanya.
Saifuddin berkata demikian dalam sidang media di Pejabat PKR Kedah pada Ahad.
Tambahnya, selepas hampir dua tahun kecurian itu berlaku, mustahil untuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi yang merupakan Pengerusi MBI tidak diberi taklimat mengenai perkara tersebut.
"Mereka ni adalah syarikat yang diberi authority kemudian ianya di dalam pengetahuan MBI sendiri. Mustahil Menteri Besar tidak diberi taklimat oleh MBI, setelah dua tahun. Mustahil sama sekali. Ya, melainkan memang Sanusi kerja dia politik dua puluh empat jam, dia tak tahu apa berlaku di bawah," katanya lagi.
Beliau dalam pada itu sekali lagi menzahirkan rasa terkilan terhadap Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah kerana langsung tidak membuka kertas siasatan terhadap kecurian melibatkan 360 guni mineral itu pada 31 Januari lalu.
Mengulas lanjut beliau berkata, apa yang berlaku menunjukkan betapa Muhammad Sanusi tidak kompeten dan gagal mengawasi agensi di bawahnya.
Ini kerana katanya, kejadian itu berpunca daripada ketidakupayaan kerajaan negeri untuk mengawal selia isu berkenaan dengan cekap.