Bagaimana pintarnya bandar kita pada masa hadapan?
Bernama
November 12, 2023 08:00 MYT
November 12, 2023 08:00 MYT
LEBIH daripada 68 peratus penduduk dunia akan menjadikan bandar sebagai tempat kediaman mereka menjelang tahun 2050, yang dijangka turut melonjakkan pelepasan karbon dioksida (CO2) global semasa di kawasan berkenaan daripada 75 peratus pada masa ini, demikian menurut 'Our World in Data' 2019.
Berdasarkan Penunjuk Pembangunan Dunia, Bank Dunia itu, Malaysia juga menunjukkan trend demikian dengan 78 peratus penduduknya pada tahun lalu (2022) tinggal di enam bandar raya besar termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Melaka.
Semakin ramai juga yang fokus untuk menjadi komuniti pintar, memandangkan keadaan global yang 'rapuh' dan penekanan kepada penggunaan inovasi digital bagi mewujudkan masa depan yang lebih selamat dan mampan untuk kesejahteraan hidup mereka.
Penekanan Malaysia terhadap bandar serta komuniti pintar juga semakin meningkat, sejajar dengan trend global.
Ini boleh dilihat apabila saiz Pasaran Bandar Pintar mengatasi Dolar AS511.6 bilion pada tahun 2022 dan dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 14.9 peratus mencecah lebih Dolar AS1024.4 bilion menjelang penghujung tahun 2027, demikian menurut Markets and Markets Report tahun lepas.
Bagaimanapun, adakah bandar pintar penyelesaian terbaik untuk memperbaiki kualiti hidup terutama di kawasan selain Lembah Klang? Tambahan, seramai 26 juta atau 80 peratus rakyat Malaysia akan menjadi penghuni bandar menjelang 2030.
Ketika kita mengalami pertumbuhan pesat dari segi ekonomi dan penduduk, begitu juga peningkatan dalam penggunaan tenaga dan sumber yang juga bermakna menjana jumlah sisa yang tinggi.
KECEKAPAN TENAGA, 'BANGUNAN HIJAU'
Presiden Malaysia Green Building Council Dr Serina Hijjas menekankan, terdapat pelbagai definisi Bandar Pintar, terutamanya di Eropah, di mana fokus adalah terhadap elemen seperti ekonomi pintar, kewangan pintar, tadbir urus yang cekap serta perancangan komprehensif. Kesemua elemen berkenaan bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan penduduk.
"Pada pandangan saya, permulaan (menubuhkan bandar pintar) adalah mewujudkan bandar yang boleh didiami dan mampan dengan teknologi digital yang akan dapat meningkatkan perubahan bandar yang dinamik. Kami dapati terdapat lambakan inisiatif seperti itu bagi mencetuskan transformasi dan bertindak sebagai pemangkin terutama dalam membentuk semula matriks tenaga serta memperbaiki mobiliti trafik.
"Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah bagaimana integrasi ini boleh menjadi komponen penting dalam penghantaran tenaga, meningkatkan mobiliti serta mewujudkan ruang yang boleh didiami di bandar," katanya sewaktu perbincangan panel bertajuk 'Green Cities of The Future From The Eyes of An Architect' (Bandar Hijau Masa Depan Daripada Pandangan Arkitek) di Persidangan Energy Transition Conference 2023, anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan, dua pertiga daripada penduduk dunia akan tinggal di bandar menjelang tahun 2050, yang bermakna akan timbul beban besar untuk sumber serta penggunaan tenaga yang tinggi.
Untuk itu adalah wajar untuk membangunkan bandar pintar serta memberi fokus kepada lebih banyak bangunan yang cekap tenaga dan mampan, terutama memandangkan sektor bangunan menggunakan sekitar 40 peratus daripada keseluruhan tenaga negara.
(Kecekapan tenaga adalah penggunaan tenaga yang sedikit bagi melaksanakan kerja yang sama atau menghasilkan keputusan yang sama, di mana rumah serta bangunan menggunakan kurang tenaga untuk pemanasan, penyejukan dan penggunaan perkakas serta barangan elektronik, di samping fasiliti pengilangan yang cekap tenaga untuk pengeluaran barangan)
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia akan melihat sebanyak RM6 bilion nilai pelaburan dari sekarang hingga tahun 2040 bagi memperbaiki kecekapan tenaga untuk mencapai sasaran purata 21 peratus penjimatan tenaga menjelang tahun 2040 di bawah Peta Jalan Transisi Energi Nasional (NETR).
Mengambil Bandar Iskandar, Johor sebagai contoh bandar pintar, Serina berkata mobiliti adalah penyumbang terbesar gas rumah hijau (GHG) di kawasan berkenaan.
"Dalam konteks membangun bandar pintar, matlamat utama adalah untuk mewujudkan ruang yang boleh didiami dan mampan. Sebagai tambahan, fokus kedua adalah meningkatkan perhubungan ke arah teknologi 5G dan menggunakan platform seperti the Internet of Things (IoT).
"Bandaraya Kuala Lumpur telah mengorak langkah dengan IoT, analisis data, dan konsep dikenali sebagai 'digital berkembar' yang membolehkan kita secara maya meramalkan cabaran serta keperluan di masa hadapan," katanya.
Menurut beliau, satu lagi aspek penting ialah mendokong kepintaran alam sekitar yang mengintegrasikan solusi berasaskan semula jadi dalam lingkungan alam sekitar yang dibina, ini dapat dilihat di Singapura di mana bangunan dibina tanpa menjejaskan alam sekitar.
"Pembinaan pintar melibatkan pengurusan tenaga, sisa dan bahan di bawah rangka kerja Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Kami secara aktifnya menimbangkan skop pelepasan 1, 2, dan 3, memfokus kepada kecekapan bahan dan sisa bagi mengurangkan pelepasan karbon dan mitigasi perubahan iklim," katanya.
TUKAR BANGUNAN TUA
Dalam masa jangka panjang, 'bangunan hijau' dijangka dapat memberi penjimatan ekonomi dari segi kecekapan tenaga.
Serina, yang juga pengarah kanan dan arkitek Hijjas Kasturi Associate Sdn Bhd, menyatakan bahawa penyumbang paling utama penggunaan tenaga adalah bangunan, meliputi ruang kediaman dan pejabat.
"Setakat ini, bukan menjadi mandatori di negara kita untuk mendokong amalan hijau. Kemungkinan, Singapura adalah satu-satunya negara di dunia yang mewajibkan amalan hijau.
"Saya percaya fokus kepada kecekapan tenaga akan dapat membantu merapatkan jurang semasa. Terdapat peluang besar untuk perubahan iaitu kita dengan mudah boleh mencapai 40 hingga 50 peratus pembaikan dalam kecekapan tenaga di dalam bangunan hari ini," katanya.
Serina menambah, untuk mengurangkan permintaan tenaga dalam inisiatif bandar pintar, adalah penting untuk mengutamakan menukar bangunan sedia ada kepada struktur yang lebih cekap tenaga.
"Permulaan yang baik adalah NETR dan sebagai pemangkin untuk perubahan. Pengiraan kita menunjukkan pengurangan sebanyak 10 megaton bersamaan dengan tiga peratus daripada jumlah metrik tan GHG," katanya.
TINGKATKAN RANGKA KERJA BANDAR PINTAR MALAYSIA (RKBPM)
Pada 20 Sept lepas, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, kementerian beliau menjadikan Bandar Pintar sebagai inisiatif strategik bagi menangani cabaran utama dalam menjadikan bandar di Malaysia lebih produktif, kompetitif, mampan dan boleh didiami untuk generasi masa ini dan masa depan.
Konsep Bandar Pintar diwujudkan dalam Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (RKBPM) pada tahun 2018 iaitu komponen penting untuk mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan menjadi negara mampan menjelang tahun 2030.
Nga berkata, inisiatif Bandar Pintar perlu dipercepatkan bagi menggalakkan persekitaran yang lebih selamat dan amalan pengurusan bandar yang lebih cekap dan dalam masa yang sama, menekankan kepentingan penggunaan teknologi maklumat sebagai sebahagian daripada penyelesaian pengurusan bandar.
Pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Seri Iskandar, Dr Lim Seng Boon berkata, RKBPM mensasarkan membuat deraf 16 dasar, 36 strategi dan 112 inisiatif serta pelbagai petunjuk komponen bandar pintar.
"Ia juga melibatkan penyediaan cadangan untuk peraturan tadbir urus dengan mewujudkan Pelan Bertindak Komunikasi (CAP) atau melaksanakan peta jalan dari tahun 2019 ke tahun 2025 dengan agensi utama mengemukakan contoh lima projek bandar perintis iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kulim, di samping memaparkan contoh interface untuk Papan Pemuka akan datang 'My Smart City'.
"Bagaimanapun, kebanyakan data asas untuk petunjuk adalah ukuran peringkat negara yang mungkin tidak sesuai atau memnberi maklumat yang sedikit untuk pihak berkuasa tempatan.
"Oleh yang demikian, adalah disyorkan pada masa hadapan, rangka kerja itu perlu diperjelaskan untuk pelaksanaan yang lebih baik menerusi pengasingan kepada beberapa topik serta dokumen dengan kelonggaran untuk ruang pembesaran atau pembaikan," katanya.
Beliau berkata, salah satu hasil penyelidikan RKBPM ialah untuk menjadikan bandar pintar Malaysia setaraf dengan bandar pintar global terutama daripada segi faktor kompetitif di mana terdapat keperluan untuk mengejar atau mengikut yang lain, di satu tahap didorong kemajuan teknologi orang lain.
"Sebaliknya, Malaysia perlu fokus kepada membina sebuah negara bersatu yang melibatkan semua rakyat dengan keutamaan kepada hak bersama mengatasi hak individu dan kerajaan yang mengamalkan tadbir urus participatory.
"Ini adalah selaras dengan gesaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya rakyat lebih bertanggungjawab dalam menggunakan teknologi maklumat dan tidak mengeksploit isu yang boleh menjejaskan perpaduan serta keharmonian negara," katanya.
BANDAR PINTAR LEBIH INKLUSIF
Perunding bandar Pintar berpangkalan di Eropah Stephane Pean memberitahu Bernama, bandar pintar bukan sahaja tentang teknologi tetapi juga orang yang tinggal di dalamnya.
"Bandar pintar adalah bandar yang menggunakan inovasi, data dan teknologi, yang akan membentuk persekitaran bandar yang lebih inklusif untuk didiami yang memberi manfaat kepada semua warganegara atau penduduk yang mendiami bandar berkenaan.
"Kemampanan adalah sebahagian daripada asas pembangunan mana-mana pembangunan Bandar Pintar yang prosedurnya seperti pemulihan, regenerasi atau baik pulih bangunan adalah jelas dengan 17 SDG UN, " katanya.
Pean, yang juga bekas perancang bandar berkata, membina bandar pintar tidak selalunya bersamaan dengan teknologi canggih atau yang lebih besar. Hakikatnya, apa yang lebih dihargai ialah penyelesaian berasaskan alam semula jadi, inovasi akar umbi dan teknologi rendah tetapi mempunyai kesan yang tinggi, yang dapat menyelesaikan masalah tempatan dengan menggunakan juga pengetahuan Orang Asli dan memperkasakan rakyat.
"Perancang bandar boleh melibatkan komuniti dan pemegang taruh seperti pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti keperluan serta keutamaan mereka dan membangunkan penyelesaian yang menangani isu tentu itu.
"Pendekatan ini boleh menghasilkan penyelesaian yang lebih inklusif dan efektif kerana ia memerkasakan komuniti untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk bandar mereka sendiri," katanya.
- BERNAMA / Soon Li Wei