Bagaimana nasib guru interim? Tanya Maszlee kepada Radzi
Fareez Azman
Januari 18, 2022 14:26 MYT
Januari 18, 2022 14:26 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa untuk lebih serius dalam menyelesaikan isu guru interim, kata Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik.
Bekas Menteri Pendidikan itu dalam masa sama, mempersoal ke mana hala tuju kementerian berkenaan dalam menyelesaikan isu terbabit berikutan beliau secara peribadi mendapat banyak maklum termasuk yang dibincangkan di media sosial.
Beliau berkata, guru-guru interim yang juga guru sandaran berstatus DC41 ditempatkan di sekolah-sekolah bagi menampung kekurangan guru di Malaysia dan ditawarkan kontrak mengajar oleh kementerian.
Kata Maszlee, pendidik dari kelompok ini juga perlu mengikuti latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) secara Kursus Dalam Cuti (KDC).
Bagaimanapun, jelas beliau, masa depan guru interim itu terus menjadi tanda tanya sehingga kini.
"Guru interim telah mendapat hampir keseluruhan keistimewaan sebagai pejawat awam guru (DG) kecuali beberapa aspek seperti elaun perumahan, cuti bersalin dan sebagainya.
"Namun, status guru interim ini menjadi pertikaian apabila mereka tidak dapat menerima lanjutan kontrak walaupun telah menamatkan program ikhtisas.
"Situasi ini memberi gambaran tentang ketidakjelasan hala tuju KPM dalam pengurusan guru baharu apabila status guru interim ini seperti tidak ada pembelaan dan bertambah buruk apabila pengambilan one-off guru seramai 18,000 juga turut terumbang-ambing," jelas Maszlee dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Tambah Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, meskipun Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin telah mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) baru baru ini, namun, tiada jaminan yang konkrit diberikan dalam menyelesaikan itu berkenaan.
"Tindakan pengambilan guru baharu seramai 18,000 orang adalah tindakan yang baik kerana dapat mengurangkan beban guru di sekolah selain dapat mengimbangi nisbah guru dan murid.
"Namun, apabila tindakan ini tidak dapat diselaraskan secara komprehensif, natijahnya seperti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran," ujar beliau.
Maszlee berkata, menjadi satu kerugiaan buat dunia pendidikan apabila guru yang telah berkhidmat selama tiga tahun akhirnya tidak lagi menjadi pendidik kerana kegagalan KPM untuk merancang.