Bagaimana masa depan pelarian Rohingya di Malaysia?
Dania Zainuddin
September 25, 2017 22:13 MYT
September 25, 2017 22:13 MYT
"Kami dalam penjara terbuka di Myanmar, bukan di Malaysia."
Itu yang ditegaskan Pengarah Rohingya Women Development Network Sharifah Shakirah Husein, sambil menekankan tahap keselamatan di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding di Rakhine.
Warga Rohingya yang sudah menetap di Gombak lebih 20 tahun itu mengakui, walaupun tanpa dokumen pengenalan diri, penduduk Malaysia sentiasa prihatin dan menyalurkan bantuan kepada pelarian Rohingya.
"Malaysia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, dan tidak bertanggungjawab ke atas pelarian.
"Tetapi rakyat negara ini telah memberi kasih sayang kepada kami, mereka tidak menghalau kami dan saya sangat bersyukur.
"Saya membesar di sini. Malaysia adalah rumah kedua saya. Dan walaupun saya mengakui ada cabaran, tetapi Malaysia banyak berjasa kepada kami," kata Sharifah kepada Astro AWANI.
Sebelum ini, Pengarah Darul Eslah Rohingya Academy Mohammad Sadek Ali Hassan menyifatkan situasinya di Malaysia seperti berada dalam penjara terbuka.
"Saya boleh makan, saya boleh tidur tetapi saya tidak boleh ke mana-mana. Kami seperti banduan yang mempunyai hukuman tidak berkesudahan," kata Mohammad Sadek dalam satu temubual bersama Karim Raslan untuk ruangan Ceritalah ASEAN.
Mohammad Sadek yang berusia 44 tahun telah membangunkan sebuah madrasah di Ampang sejak 10 tahun yang lalu.
"Sekolah kami tidak berdaftar dan kami berdepan kekangan kewangan kerana kami adalah pelarian.
"Saya mahu sekolah diteruskan kerana mahu membangunkan warga Rohingya yang bertamadun.
"Saya tidak mahu mereka melakukan jenayah atau memintah sedekah," kata Mohammad Sadek.
Sementara itu bagi Karim Raslan, Malaysia sememangnya sudah terbuka untuk menerima pelarian Rohingya, namun persoalan yang timbul adalah 'Apakah nasib masa depan mereka?'.
"Ini soal kemampanan. Pelarian ini memang memerlukan bantuan, tetapi apakah hala tuju mereka?
"Apa masa depan mereka yang tidak mempunyai kerakyatan, tiada identiti?
"Ini yang perlu dibincangkan di peringkat kerajaan," kata Karim.
Sebelum ini, pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi berkata kerajaan pimpinannya mengutuk segala bentuk keganasan selepas beliau dituduh lepas tangan dalam isu kemanusiaan di Rakhine.
Namun, Tribunal Awam Tetap (PPT) telah mendapati kerajaan Myanmar bersalah melakukan genosid, jenayah perang dan jenayah menentang kemanusiaan terhadap etnik Rohingya negara itu.
#Aung San Suu Kyi
#Darul Eslah Rohingya Academy
#Karim Raslan
#Malaysia
#Mohammad Sadek Ali Hassan
#Myanmar
#Rakhine
#Rohingya
#Rohingya Women Development Network
#Sharifah Shakirah Husein