Bagaimana kepupusan badak sumbu Sumatera boleh mengundang bencana?
Hilal Azmi
November 29, 2019 18:16 MYT
November 29, 2019 18:16 MYT
TARIKH 27 Mei 2019 menjadi detik cukup menyedihkan bagi pencinta hidupan liar terutamanya bagi yang mengikuti secara dekat perkembangan spesies badak sumbu Sumatera.
Kematian badak sumbu Sumatera jantan terakhir negara, Tam, menjadi tamparan hebat kepada usaha memelihara kemandirian spesies itu dan juga hidupan liar terancam lain di Malaysia dan juga dunia.
Tam ditemui di sekitar ladang kelapa sawit pada 2008, ditangkap dan dipindahkan ke Rizab Hidupan Liar Tabin, Sabah sebagai usaha membiakkan spesies yang paling terancam pada ketika itu.
Dua ekor badak sumbu Sumatera betina, Iman dan Puntung, yang turut dijaga di rizab berkenaan juga tidak dapat diselamatkan hayatnya.
Puntung terpaksa diberikan suntikan menerusi prosedur euthanasia pada 4 Jun 2017 akibat menghidap kanser kulit
Pada Sabtu, 23 November, Iman pula menyusul pergi tanpa sebarang zuriat, lantas menjadikan spesies badak sumbu Sumatera kini lenyap sama sekali di Malaysia.
Apa sudah jadi?
Kematian ketiga-tiga badak sumbu Sumatera terakhir ini menjadi bualan ramai di media sosial malah sedikit sebanyak 'berjaya' meningkatkan kesedaran terutamanya dalam kalangan muda mudi di malaysia tentang pentingnya memelihara alam sekitar.
Malang sekali, kesedaran itu, walaupun bagus, sudah terlambat.
Kepupusan yang melanda spesies dengan nama saintifik Dicerorhinus sumatrensis itu juga merupakan contoh jelas tentang kesan perbuatan manusia.
Badak sumbu Sumatera berada pada status terancam kritikal oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) sejak tahun 2008.
Ia telah diisytiharkan pupus di kawasan hutan belantara seluruh Malaysia sejak 21 Ogos 2015 memandangkan beberapa ekor spesiesnya yang tinggal hanyalah yang berada di pusat perlindungan hidupan liar.
Menurut Peter Dockril, seperti yang dilaporkan menerusi jurnalnya di ScienceAlert.com, jumlah badak sumbu Sumatera merudum dengan drastik dari tahun ke tahun.
"Saintis telah membuat pemantauan terhadap jumlah badak sumbu Sumatera sejak beberapa tahun, kini dengan penuh dukacita kami mengesahkan bahawa spesies ini telah pupus dari hutan belantara Malaysia.
"Kali terakhir ia dikesan di hutan negara ini ialah pada 2007," katanya.
Bagaimana boleh pupus?
Suatu ketika dahulu, badak sumbu Sumatera mudah ditemui di habitat hutan hujan, paya dan hutan tanah tinggi di India, Bhutan, Bangladesh, Myanmar, Laos, Thailand, Malaysia, Indonesia, dan China.
Namun, sedih sekali, selain masalah pencerobohan habitat atas nama pembangunan, rata-rata badak sumbu Sumatera menjadi sasaran kepada pemburu haram di seluruh dunia.
Bukan itu sahaja, semua spesies badak terus menjadi buruan demi mendapatkan tanduknya yang mempunyai nilai tinggi.
Selain harga tinggi di pasaran, tanduk badak sumbu juga dipercayai mempunyai khasiat tersendiri dalam merawat kanser, mengeluarkan toksin dari badan serta memulihkan mabuk.
Selain itu, proses pembiakannya juga amat perlahan memandangkan tekanan yang dialami akibat perubahan iklim.
Akibat daripada kurangnya aktiviti mengawan, kadar pembiakan badak sumbu Sumatera terus merudum, malah ada antara badak ini menghidapi penyakit seperti kanser dan terus mati.
Apakah kesannya kepada alam sekitar?
Tidak kurang dengan itu, dengan lenyapnya kumpulan hidupan dari jenis megaherbivor ini, ia sekali gus memberikan kesan besar kepada ekosistem Malaysia dan juga bumi ini secara keseluruhannya.
Dengan kematian spesies badak ini, perubahan besar kepada ekosistem hidupan liar di muka bumi turut berlaku lantas mengundang lebih banyak kepupusan membabitkan spesies berbeza.
Menurut kajian yang dibuat oleh ahli paleoekologi, Jacquelyn Gill menerusi jurnalnya yang diterbitkan di ScienceMag.org, beliau menyifatkan kepupusan megaherbivor seperti badak sumbu Sumatera mengubah diversiti komuniti tumbuhan dalam ekosistem tersebut.
Malah, ada kajian lain yang dibuat di ekosistem savana di Afrika oleh Joris P. G. M. Cromsigt dan Mariska te Beest menyimpulkan bahawa jika kepupusan megaherbivor seperti gajah dan badak sumbu berlaku di Afrika, komuniti tumbuhan di sana akan mengalami tekanan besar.
Apakah bencana yang bakal dialami hutan belantara?
Menurut Chrishen Robert Gomez, Pengurus Penyelidik di Program Karnivor Borneo, hutan belantara Malaysia telahpun mula mengalami kesan buruk sejak spesies ini pupus dari habitat liar empat tahun lalu.
"Kepupusan ini juga peringatan untuk kita biarpun Malaysia ada banyak spesies hidupan yang sangat unik berbanding tempat lain di planet ini.
"Badak sumbu Sumatera merupakan 'jurutera ekologi' yang penting dalam ekosistem hutan negara ini, untuk pulih daripada sebarang kemusnahan serta mengekalkan kepelbagaian biodiversitinya.
"Terdapat banyak spesies tumbuhan unik terutamanya di Borneo yang mengharapkan badak sumbu Sumatera mengekalkan kemandirian spesiesnya seperti pokok belian, mangga hutan, dipterokarpa dan juga pokok palma.
"Kesemua pokok ini merupakan makanan utama badak sumbu Sumatera yang memerlukan 50 kilogram makanan setiap hari dan secara tidak langsung, haiwan ini menjadi agen pembiakbakaan untuk kesemua spesies tumbuhan berkenaan.
"Dengan kepupusan badak sumbu Sumatera, hutan belantara kurang keupayaan untuk memulihkan diri pada jangka panjang, terutamanya dengan keluasan hutan yang semakin berkurang akibat aktiviti pembangunan.
"Maka ia akan termusnah sendiri dan terus memberikan kesan kepada rantaian populasi hidupan liar lain," katanya yang juga pemenang Merdeka Award Grant for International Attachment 2019.
Bayangkan, sebelum ini, ada 'makhluk comel' berbadan besar yang meragut tumbuhan untuk terus hidup.
Makhluk itu mempunyai sumbu di kepalanya dan sekali sekala berlari untuk menghiburkan dirinya.
Tiada lagi kelibatnya dalam hutan belantara Malaysia. Lenyap sudah kewujudannya.