Bagaimana enakmen antilompat parti boleh dilaksana? Agenda AWANI 8.30 malam ini
Israr Khalid
November 22, 2021 16:42 MYT
November 22, 2021 16:42 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya 65.85 peratus pengundi berdaftar keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tempoh hari jelas menunjukkan rakyat sudah muak dengan semua ini.
Mana tidaknya, dahulu pada 2018, ketika mereka bersemangat keluar mengundi pun sudahnya ada juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat masuk ke parti lain.
Itu lantas mencetus kemelut, seterusnya menyebabkan pilihan raya sekali diadakan ketika rakyat sedang tercungap-cungap bangkit dari tersungkur dek penangan COVID-19.
Sudahnya mereka malas.
Namun sampai bilakah hal ini akan dibiarkan? Lama-lama boleh runtuh juga kestabilan sesebuah negeri dan negara, tak mahulah sampai jadi porak-peranda.
Barisan Nasional (BN) selepas menang bergaya dalam PRN Melaka pada 20 November lalu telah menyuarakan janjinya - tekad mencadangkan enakmen antilompat parti dalam sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pertama sejurus pembentukan kerajaan negeri yang baharu.
Bagaimana usaha ini dapat menghalang kewujudan ahli politik ‘katak’ baharu dan keupayaan mereka untuk melompat ke bekas baharu?
Pertama, Perlembagaan Negeri perlu dipinda untuk membolehkan rakyat memecat ADUN yang melompat, kemudian Enakmen Pemecatan ADUN Antilompatan perlu dibawa ke sidang DUN dan diluluskan.
Jika selepas itu ada lagi ADUN yang melompat, rakyat yang membantah boleh membuat petisyen pemecatan di Lembaga Pemecatan ADUN (LPA) dengan meletakkan deposit RM5,000.
LPA kemudian membuka 10 tempat dalam kawasan yang terlibat selama tiga minggu untuk pengundi menurunkan tandatangan ke atas borang sokongan seandainya bersama dalam petisyen tersebut.
Sekiranya sokongan mencapai 40 peratus jumlah pengundi berdaftar atau separuh daripada kadar keluar mengundi pada PRN yang lalu, ADUN terbabit akan dipecat dan Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pemecatan itu.
Namun, jika petisyen tidak mendapat sokongan sekurang-kurangnya 12.5 peratus pengundi yang mendaftar, ia akan dibatalkan dan pencadang akan kehilangan deposit.
Mungkin BN ada cara dan mekanisme tersendiri untuk melaksanakannya, atau ada cara yang lebih baik lagi berlandaskan perkiraan sains politik?
Agenda AWANI malam ini bersama Ahli Parlimen Pengerang merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman dan saintis politik yang juga Timbalan Ketua Pengarah Eskekutif Asian Strategy & Leadership Institute, Prof. Wong Chin Huat.
Jangan lupa, jam 8.30 malam, hanya di saluran 501 dan astroawani.com.