'Bagai diberi nyawa...' - Pekerja resort hanyut sehingga Vietnam

Sharom Abu Bakar
Ogos 4, 2019 20:18 MYT
Tiga pekerja sebuah resort di Pulau Tenggol Fauzi Mohammad, 40 (kanan), Mohd Hafiz Abdul Rahim, 22 (dua, kiri) dan Mohamad Firdaus Mohd Awaluddin, 25 (kiri) yang dilaporkan hilang pada 31 Julai lepas. - Foto BERNAMA
‘Bagaikan mati hidup semula.’
Itu gambaran yang diberikan tiga pekerja resort di Terengganu yang terperangkap di lautan selama tiga hari, selepas bot yang mereka naiki dihanyutkan ombak sehingga ke perairan Vietnam.
Fauzi Mohamad, Hafiz Abd Rahim dan Firdaus Awalluddin terpaksa mencatu bekalan air dan makanan di dalam bot mereka sementara menanti bantuan.
Mereka juga tidak berupaya menghubungi pihak luar ekoran telefon bimbit yang kehabisan bateri.
“Pertama sekali saya kena, tidak percaya. Selama ini tidak pernah kena lagi. Banyak yang saya tak terfikir benda ni semua. Tiba-tiba kena begitu.
“Lepas itu saya serah pada Allah saja.. Alhamdulillah. Berserah sepenuhnya. Ada bot datang ambil Alhamdulillah. Itulah baru bernyawa,” kata Fauzi.
Bagaimanapun menurutnya pengalaman ini tidak mematahkan semangat mereka untuk terus meredah lautan untuk mencari rezeki.
“Mungkin serik tu, tak tahu nak cakap serik ke tak tetapi sudah kerja macam ini nak tak nak kena buat juga.
“Teruskan juga sebab ini pengalaman dalam hidup saya. Baru pertama kali kena macam ni. Mungkin saya akan teruskan juga walaupun pengalaman macam ini,” kongsi Firdaus pula.
Usaha membawa pulang ketiga tiga mereka mengambil masa lebih 20 jam ekoran laut yang bergelora dan jarak yang jauh.
Kesemua mangsa selamat tiba di Jeti Maritim Kuala Terengganu kira-kira jam 9 pagi Ahad.
#air #bot #hanyut ke Vietnam #Kuala Terengganu #mangsa #mati #resort #Vietnam
;