Bagai ada yang kurang di Jerantut.. Adakah benar 'kampung Mat Kilau' kurang promosi?

Fareez Azman
November 12, 2022 18:03 MYT
Makam Pahlawan Mat Kilau di Pulau Tawar menjadi lokasi kunjungan pengunjung selepas filem mengenai pahlawan Pahang itu mendapat sambutan luar biasa. - Astro AWANI
JERANTUT: Sebut sahaja filem Mat Kilau, ramai rakyat Malaysia teruja dengan semangat kepahlawanan anak Pahang itu dalam menentang penjajah British sekitar tahun 1880-an.
Fenomena itu secara tidak langsung membawa kepada limpahan ekonomi di bandar Jerantut apabila ramai pengunjung dari seluruh negara datang menziarahi kampung kelahiran pahlawan Melayu itu.
Bagaimanapun, sambutan itu dilihat bermusim. Ketika ini, Jerantut yang merupakan daerah terbesar negeri Pahang dilihat kembali sepi daripada pelancong dari dalam, apatah lagi dari luar negara.
Jerantut terkenal seketika
Bagi peniaga restoran, Maziana Ahmad Samsudin, 52, beliau mengharapkan agar simbol Mat Kilau di Jerantut itu terus ditambah nilai menerusi produk pelancongan.
"Memang kurang pengunjung sekarang, sebab filem Mat Kilau je mula-mula ini (kehadiran) pengunjung mula naik datang ke Jerantut nak tengok kubur dia.
"Tarikan lain tiada (di Jerantut), cuma orang yang tinggal di Kuala Lumpur balik sini jumpa mak ayah," jelasnya.
Tambah Maziana, beliau bersyukur atas filem Mat Kilau itu memberi sedikit nafas lega buat peniaga, namun ia tidak bertahan lama.
"Sini tak tahu apa yang menarik. Fenomena Mat Kilau tahun depan mungkin dah abis, tapi masa filem je lah.
"Di Jerantut ini cuma ada Taman Negara Pahang dan Mat Kilau sahaja," jelasnya.
Perlu promosi berterusan
Pandangan sama dilontarkan Zamri Seman, 54, yang mahukan promosi dibuat lebih agresif mengenai Mat Kilau di Jerantut.
"Selepas filem, baru nampak balik dia punya tarikan pelancong itu. Ada sesetengah tahu, sesetengah tak tahu.
"Macam generasi baharu tak tahu. Insya-Allah ramai (pengunjung) datang kalau ada promosi Mat Kilau sebab orang nak tahu jalan cerita sejarah, kan?" katanya.
Jika dilihat dari sudut promosi, sebenarnya ada beberapa inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum ini.
Malah turut dimasukkan acara ziarah Makam Pahlawan Mat Kilau dalam pakej lawatan Taman Negara Pahang.
Kampung kelahiran Mat Kilau
Kami menjelajah ke Kampung Kedondong di Pulau Tawar iaitu kampung kelahiran pahlawan Melayu itu.
Dari bandar Jerantut, hanya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk tiba di kawasan bersejarah ini.
Penulis dan jurukamera, Khairulazman Mohamad sempat menziarahi Makam Pahlawan Mat Kilau yang dikebumikan pada tahun 1970.
Dimakamkan bersebelahan bondanya, Teh Mahda, makamnya berpagar dan dibina dengan batu nisan jenis marmar berwarna hijau gelap.
Jelas penduduk sekitar kampung berkenaan, sejak fenomena filem Mat Kilau, ribuan pengunjung datang menziarahi pusara pejuang itu.
Namun, fenomena itu dilihat semakin sepi selepas hampir setahun filem itu ditayangkan.
Timbul persoalan, apakah tindakan lanjut pihak berwajib untuk mempromosikan lokasi bersejarah itu?
Galeri Mat Kilau
Kami seterusnya ke Galeri Mat Kilau yang terletak beberapa kilometer dari makamnya.
Dari sudut kerajaan negeri, pelbagai usaha telah dibuat sebelum ini termasuk pembinaan galeri tersebut oleh Majlis Daerah Jerantut dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (AKM).
Bagi Nordin Ahmad, 63, usaha promosi pelancongan perlu diteruskan di kawasan kampung ibunya itu.
"Promosi Mat Kilau kurang tapi kalau dapat tambahkan lagi promosi, bagus dari sudut pelancongan untuk masa akan datang.
"Kalau diteruskan, bagus. Saya pun orang Pulau Tawar, dari segi pelancongan memang boleh tarik orang ramai.
"Saya seronok orang Pulau Tawar naikkan nama kampung itu, dulu tiada pun (terkenal). Nama Mat Kilau pun terbiar. Sekarang baru orang nampak dengan adanya filem Mat Kilau," katanya.
Hampir sejam berada di galeri berkenaan, ternyata pelbagai kisah lipatan sejarah mengenai pejuang kemerdekaan itu dititipkan di setiap sudut.
Jika cuti sekolah, ada juga pengunjung yang datang ke galeri berkenaan, semuanya dikatakan selepas mereka menonton filem Mat Kilau.
Jika ia mampu menarik pengunjung, mengapa tidak promosi secara lebih agresif dijalankan?
Malah rumah asal pejuang Pahang itu di Kampung Kedondong kini hanya tinggal tapak rumah semata-mata.
Jika di Terengganu, ada rumah Mat Kilau dijadikan tarikan pelancong untuk melihat warisan sejarah negara itu. Mengapa tidak di Pahang yang juga tempat kelahiran pahlawan negara itu?
Bagai 'terlupakan' di kampung sendiri, ia sesuatu yang perlu difikirkan dan diusahakan bersama pakej pelancongan bernilai tambah yang lain. Itu penting supaya kedatangan pengunjung disambut dengan tarikan nilai sejarah dan warisan, sekali gus menjadikan perjalanan sejauh kira-kira 200 kilometer (km) dari Kuala Lumpur dan 180km dari Kuantan dirasakan berbaloi.
Setakat ini, ada perkara asas yang boleh pengusaha penginapan lakukan. Di hotel-hotel yang terletak di bandar Jerantut juga dilihat kurang memberikan suntikan trivia atau sejarah mengenai pahlawan itu kepada tetamu yang menginap.
Bagi penduduk, mereka mahukan agar potensi pelancongan itu diberi perhatian oleh pihak berwajib agar kesan limpahan ekonomi dapat dirasai mereka.
Penduduk tempatan tidak mahu kampung mereka terus sepi, mengiringi fenomena filem Mat Kilau yang hangatnya cuma semusim.
#Mat Kilau #Kg Kedondong #sejarah #Malaysia Memilih #Jerantut #Pahang #pelancongan
;