Badan Peguam tolak usul meminta permohonan maaf Christopher Leong

T K Letchumy Tamboo
Mac 14, 2015 16:07 MYT
Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam menolak usul untuk menarik balik kenyataan media Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong.
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Badan Peguam yang ke-69 hari ini menolak usul untuk menarik balik kenyataan media Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong yang bertajuk "Datuk Seri Anwar Ibrahim: Prosecuted or Persecuted?” dan permohonan maaf daripadanya.
Keputusan itu dicapai selepas perbahasan kira-kira empat jam, apabila 161 ahli bersetuju dengan usul itu, 1194 ahli tidak bersetuju dengan usul itu, dan dua orang tidak memberikan pendapat.
Usul yang dicadangkan oleh ahli kumpulan peguam G100 Faidhur Rahman Abdul Hadi dan disokong oleh Aidil Khalid, menerima tindak balas negatif dari kumpulan itu apabila ditolak.
Jurucakap G100, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata mereka mencadangkan usul itu kerana menganggap Christopher telah menghina mahkamah.
"Usul ditolak oleh Badan Peguam tadi kerana mereka tidak bersetuju Christopher menghina mahkamah. Dan Presiden mengatakan dia tidak menghina mahkamah, dia cuma buat kenyataan membantah pihak pendakwaan.
"Dia kata pihak pendakwa yang salah dan tidak ada kena mengena dengan mahkamah.
"Kita baca kenyataan itu, kita nampak bukan saja dia menghina perlembagaan sebab dia buat statement selepas mahkamah buat keputusan, tetapi dia juga berkata dia tidak menghina mahkamah.
"Dia cuma menghina pihak pendakwaan. Kita tak setuju," katanya apabila ditemui wartawan di Hotel Renaissance di sini, hari ini.
Beliau berharap pihak berkuasa seperti Peguam Negara dan pihak polis akan ambil perhatian tentang kes ini.
"Kalau mereka anggap ada salah, ambillah tindakan.
"Tindakan boleh diambil di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan. Terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil keputusan jika dia menghina mahkamah," tambahnya.
#Abdul Aziz Abdul Rahman #AGM Badan Peguam #christopher leong
;