Badan Peguam gagal cabar pengurangan penjara dan denda Najib
Sinar Harian
November 11, 2024 15:25 MYT
November 11, 2024 15:25 MYT
KUALA LUMPUR: Badan Peguam gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman mencabar keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Ia selepas Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid mendapati permohonan Badan Peguam, tidak boleh diputuskan oleh mahkamah atau melalui prinsip undang-undang.
Ketika membaca keputusannya, beliau berkata, nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan merupakan sebahagian daripada proses yang membawa kepada pemberian pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, budi bicara pengampunan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ialah pelaksanaan budi bicara mutlak Agong dan bukannya Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan atau kuasa yang diwakilkan kepadanya.
“Mahkamah berpendapat hak budi bicara pengampunan tidak boleh disemak dan ‘relif’ dipohon untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan, tidak wajar untuk dibicarakan melalui semakan kehakiman.
“Justeru, ia bukan perkara yang sesuai dan wajar untuk disemak semula di mahkamah ini,” katanya.
Majlis Peguam telah memfailkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu pada 26 April lepas yang menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersama-sama bekas Perdana Menteri itu, sebagai responden.
Ia memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lepas berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjara beliau yang menyaksikan pembebasan awal beliau pada 23 Ogos 2028 adalah terbatal, tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Majlis Peguam juga memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan denda Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta dengan syarat jika ia gagal dibayar, hukuman penjaranya akan dilanjutkan selama setahun, menyebabkan pembebasan awal pada 23 Ogos 2029 adalah terbatal, tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Najib, 71, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - Sinar Harian