Badan Kehakiman rangka formula perbicaraan kes jenayah secara maya - Tengku Maimun
Firdaus Azil
Januari 14, 2022 14:47 MYT
Januari 14, 2022 14:47 MYT
PUTRAJAYA: Badan Kehakiman kini sedang merangka formula untuk membolehkan perbicaraan kes jenayah secara hibrid bagi mahkamah atasan dan mahkamah bawahan, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Sewaktu berucap di Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman, di sini hari ini, Tengku Maimun berkata, ia membolehkan kedua-dua pihak memilih untuk mengikuti perbicaraan dalam mahkamah terbuka, atau mana-mana lokasi lain.
Beliau berkata, ia juga merupakan bukti Badan Kehakiman lebih bersedia untuk melaksanakan proses keadilan dengan kemajuan teknologi masa kini.
“Bagi memastikan orang kena tuduh (OKT) tidak akan diadili dengan prejudis, eksesais ini hanya terpakai kepada mereka yang diwakili peguam.
“Bagi OKT yang di bawah tahanan reman, atau dalam kurungan, kami mencadangkan prosiding dibuat dari penjara OKT ditempatkan, yang dilengkapi dengan teknologi persidangan video,” katanya lagi.
Cadangan pelaksanaan ini, kata Tengku Maimun, akan hanya terpakai kepada beberapa jenis jenayah, yang keputusannya akan diumumkan awal tahun 2022, tertakluk kepada konsultasi dengan pemegang taruh.
Dalam pada itu, beliau berkata, seperti yang diumumkan pada awal 2021, kini kesemua mahkamah di Semenanjung Malaysia telah dilengkapi dengan platform e-Mahkamah, selain Mahkamah Yong Peng yang sedang menjalani proses renovasi.
Selain itu, Tengku Maimun berkata, sistem lama Court Recording Transcription (CRT) kini telah digantikan dengan Recording & Voice to Text (RVT), yang telah diperluaskan pelaksanaannya ke 320 lokasi di Semenanjung Malaysia.
Mengulas mengenai penggunaan Kepintaran Buatan (AI) dalam penghakiman, Tengku Maimun berkata, ia hanya sebagai panduan, bukannya keputusan akhir dalam memberi hukuman.
“Majistret masih memegang budi bicara akhir dalam menjatuhkan hukuman yang bersesuaian dengan peruntukan undang-undang,” katanya lagi.