Badan Kehakiman laksana Sistem Notifikasi Pelepasan Dari Lokap mulai Selasa ini
Bernama
Jun 11, 2021 07:03 MYT
Jun 11, 2021 07:03 MYT
PUTRAJAYA: Badan Kehakiman akan melaksanakan sistem penyelesaian pembayaran denda dikenali sebagai Sistem Notifikasi Pelepasan Dari Lokap bermula Selasa ini (15 Jun) yang meminimumkan pergerakan tahanan.
Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) memaklumkan sistem itu akan memaparkan status penyelesaian pembayaran denda dan pembebasan tertuduh sebagai tahanan lokap yang telah dijatuhi hukuman denda sahaja.
"Status berkenaan akan dipaparkan pada skrin Sistem Pengurusan Beratur (QMS) tanpa memerlukan pergerakan atau kehadiran tahanan lokap semasa pembayaran denda," menurut kenyataan itu yang menyebut sistem itu akan dilaksanakan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor.
Menurut PKPMP, proses asal pembebasan tertuduh hanya boleh dilakukan di Kaunter Pejabat Pendaftaran Mahkamah yang berkenaan dengan kehadiran tertuduh.
"Melalui pelaksanaan sistem ini, tiada keperluan bagi pihak polis mahkamah untuk membawa tertuduh ke Kaunter Pejabat Pendaftaran sekali gus dapat mempercepatkan lagi proses menunggu pembebasan, meminimumkan pergerakan tahanan lokap dan memudahkan orang awam serta ahli keluarga tertuduh untuk mengetahui status pembebasan tertuduh," katanya.
Kenyataan itu menyebut Badan Kehakiman berharap inisiatif itu mampu meningkatkan kualiti akses kepada keadilan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi secara optimum serta dapat mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit dengan meminimumkan pergerakan terutama sewaktu musim pandemik COVID-19 ini.
-- BERNAMA
#PKPMP
#denda
#Badan Kehakiman
#Sistem Notifikasi Pelepasan Dari Lokap
#bayaran denda
#notifikasi
#status penyelesaian
#pandemik
#Mahkamah Persekutuan
#Ketua Pendaftar
#meminimumkan pergerakan
#Tahanan
#lokap
#pembebasan
#teknologi