Badan kehakiman bebas buat keputusan selagi tidak takut atau pilih kasih - Tengku Maimun
Fareez Azman
Januari 9, 2023 14:53 MYT
Januari 9, 2023 14:53 MYT
PUTRAJAYA : Para hakim diingatkan agar membuat keputusan tanpa rasa takut atau pilih kasih meskipun terdapat percubaan pihak tertentu untuk menakut-nakutkan badan kehakiman itu.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, ini kerana pelbagai kecaman dan komen berbaur politik disasarkan kepada badan kehakiman apabila keputusan tidak memihak kepada tokoh-tokoh tertentu.
"Bila mahkamah mendengar kes melibatkan tokoh-tokoh, personaliti tertentu, pandangan awam lebih tertumpu lebih daripada kes biasa.
"Jadi dalam keadaan ini apa yang saya dapat perhatikan adalah melibatkan tokoh-tokoh tertentu, komen-komen yang diberi (terhadap) penghakiman mahkamah agak keterlaluan dan berat sebelah, tidak objektif dan berbaur politik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Tahun Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Isnin.
Turut hadir, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
Tambah Tengku Maimun, meskipun berdepan pelbagai kecaman, namun beliau berkata sokongan daripada semua pihak termasuk rakyat amat dihargai.
"Bukan komen-komen membina seumpamanya diadakan suatu 'intellect discourse', ini lebih kepada apa saya rasa rasakan sentimen politik.
"Untuk menyatakan penghargaan kepada semua yang beri sokongan kepada kami sepanjang kita telah melaksanakan memutuskan kes-kes melibatkan tokoh-tokoh tertentu.
"Memang betul setiap keputusan yang mahkamah dan kes mahkamah putuskan ada pihak berpuas hati dan tidak puas hati," katanya lagi.