Badan kebajikan, NGO disaran tidak fokus bantuan gelandangan di satu tempat - TPM

Afiezy Azaman
Mei 7, 2019 13:11 MYT
Wan Azizah berkata, antara tujuan saranan itu adalah untuk mengelakkan pembaziran. - Gambar hiasan/Bernama
Badan kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi sumbangan makanan kepada gelandangan perlu memperbanyakkan tempat agihan agar tidak berlaku pembaziran.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata badan kebajikan perlu meneroka kawasan lain yang mempunyai gelandangan dan tidak mengambil jalan mudah dengan hanya fokus kepada sesuatu tempat.
“Memang kita tidak menggalakkan pembaziran tidak kira dalam bulan puasa atau pun tidak sebab itu kita adakan Program Food Bank dan sebagainya.
“Kalau bulan puasa memang ini (pembaziran) kerap berlaku, kalau makanan banyak agihkanlah dekat tempat lain.
“Jangan fokus satu tempat, kita tengok kawasan mana yang memerlukan. Ada badan kebajikan dan NGO yang nak bagi makanan di tempat mudah saja, carilah mereka yang memerlukan makanan di tempat lain seperti masjid dan sebagainya supaya kita dapat kurangkan pembaziran,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai tindakan segelintir gelandangan membuang lebihan makanan yang diberikan oleh badan kebajikan dan NGO.
#Badan Bukan Kerajaan #badan kebajikan #buang #Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail #makanan #pembaziran #sumbangan #Timbalan Perdana Menteri
;