"Badan hancur, jari dah putus dihempap batu dan tanah..."

Nuzuluddin Abdul Razak
Mac 24, 2021 20:11 MYT
Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau yang terlibat sama dalam operasi mengeluarkan mangsa menetapkan tempoh tujuh hari untuk mengeluarkan mayat mangsa dari kawasan lombong di Bau. -Gambar Astro AWANI
BAU: Gelap, dalam dan sempit. Itu situasi yang dialami oleh pasukan penyelamat serta ahli keluarga mangsa insiden dihempap tanah dan batu di Gunung Krian, Bau.
Semuanya diredah mereka demi menyelamatkan tiga mangsa yang terperangkap ketika melombong emas di gunung tersebut.
Menurut Jefri Abu Bakar, bimbang akan struktur tanah yang rapuh dan mudah runtuh, mereka terpaksa menggunakan kayu untuk dijadikan penahan.
Katanya sehingga pukul 7 petang Rabu, dua mangsa berjaya dikeluarkan dalam tragedi itu.
Namun, anak saudaranya, Mat Anak Tapa berusia 25 tahun gagal diselamatkan dan meninggal dunia akibat dihempap batu dan tanah.
Akui Jefri, dia sempat masuk ke dalam gua yang sempit itu untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal apabila badannya hancur selain jari putus.
"Memang sudah meninggal dunia. Memang sudah hancur, badan dia terbalik dihempap batu. Jarinya putus termasuk kulitnya. Tangan dia dapat dipusing," katanya ketika ditemui Astro AWANI di lokasi kejadian.
Jefri turut memberitahu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengeluarkan mayat mangsa tetapi tidak berjaya.
Insiden Lombong | Mangsa meninggal dunia dihempap batu, badan hancur
Bercerita lebih lanjut tentang situasi yang menggerikan itu, katanya, batu jatuh menghempap mangsa ketika runtuhan.
"Pada mulanya dia bersandar, tiba-tiba batu jatuh dan hempap mukanya.
"Apa yang saya lakukan, saya korek tanah dibawah untuk mendapatkan ruang kosong, supaya dapat menarik mangsa keluar. Tetapi semakin dikorek, semakin tanah itu runtuh, batu-batu kecil jatuh, tanah jatuh, jadi saya terpaksa keluar," kongsinya bercerita kejadian yang berlaku sekitar jam 7 malam Selasa.
Terdahulu, berdasarkan laporan awal, ketiga-tiga rakyat tempatan ini dipercayai melombong di kawasan berkenaan sebelum kemalangan itu berlaku.
Operasi untuk mengeluarkan mangsa turut disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau dan telah dimulakan pada jam 9.15 pagi Rabu.
Pihak BBP Bau telah menetapkan tujuh hari tempoh operasi untuk mengeluarkan mayat mangsa dari kawasan lombong dengan dibantu oleh masyarakat setempat.
#Tragedi runtuhan #Gunung Krian Bau #Balai Bomba dan Penyelamat BBP Bau #badan hancur #Bau #Sarawak
;