Badak sumbu Sumatera terakhir Malaysia makin tenat
Ruzaini Zulkepli
November 20, 2019 21:56 MYT
November 20, 2019 21:56 MYT
Badak sumbu Sumatera terakhir di Malaysia yang dikenali sebagai Iman kini berada dalam keadaan kritikal berikutan keadaan kanser yang dihidapi badak betina itu.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, Iman tidak berselera untuk makan dan berat badannya menurun secara drastik iaitu 476 kg, kurang 44 kg daripada berat badannya bagi tempoh beberapa tahun yang lalu.
Jelasnya, masalah ketumbuhan pada uterus badak sumbu berkenaan yang dikesan sejak Mac 2014 itu semakin membesar dan menyebabkan haiwan itu dijangkakan mempunyai beberapa minggu lagi untuk hidup.
“Iman mempunyai tumor di dalam uterusnya di mana kita kesan lima tahun lalu sekitar Mac.
“Pihak Jabatan Vertinar telah berusaha membuang pembesaran ketumbuhan itu dan pembedahan dilakukan, tetapi ia tetap berbahaya kerana menyebabkan ia banyak kehilangan darah,” katanya pada siding media di Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Rabu.
Selain itu, beliau mengatakan bahawa terdapat beberapa badak sumbu jantan di Indonesia, berumur antara 14 hingga 18 tahun yang boleh diambil benihnya untuk dibiakkan dengan telur Iman yang disimpan.
Untuk rekod, badak betina itu merupakan satu-satunya spesis badak sumbu Sumatera yang masih hidup di Malaysia selepas pasangannya yang dikenali sebagai Tam mati pada 27 Mei lalu, akibat uzur dan kegagalan organ dalaman.
#badak betina
#badak sumbu sumatera
#Badak sumbu Sumatera terakhir
#Christina Liew
#Iman
#kanser
#kritikal