Badak sumbu sumatera betina terakhir hadapi masalah kesihatan serius
Bernama
Disember 17, 2017 21:34 MYT
Disember 17, 2017 21:34 MYT
Hanya selepas setengah tahun kematian Puntung, badak sumbu Sumatera betina terakhir yang hidup di Malaysia yang dinamakan Iman pula mengalami masalah kesihatan yang serius.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata badak sumbu itu mengalami pendarahan daripada tumor di rahimnya yang bermula sejak tiga hari lepas.
"Selalunya, ini boleh dirawat dengan ubat dan makanan tambahan. Kali ini Iman enggan meninggalkan kubangnya dan tidak lalu makan, jadi rawatan biasa tidak boleh digunakan. Dia menyerang sesiapa yang datang dekat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dipercayai satu daripada tumor Iman yang besar mungkin telah pecah dan menyebabkan pendarahan dan kesakitan.
Beliau berkata Tabin (sebuah hutan simpan di Lahad Datu) menerima hujan hampir enam meter dalam 2017, jadi padok Iman menjadi becak dan berselut serta menyukarkan keadaan.
"Kedua-dua veterinar Borneo Rhino Alliance terus memantau Iman bersama penjaganya. Kami mengharapkan yang terbaik dan akan memastikan orang ramai mengetahui perkembangannya," kata Augustine.
--BERNAMA
#Augustine Tuuga
#badak sumbu sumatera
#kesihatan
#Lahad Datu
#Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah
#Tabin
#veterinar Borneo Rhino Alliance