Bacaan meter TNB dilakukan secara konvensional sepanjang PKPB
Astro Awani
Oktober 13, 2020 17:42 MYT
Oktober 13, 2020 17:42 MYT
KUALA LUMPUR : Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan bacaan meter elektrik di kediaman dan premis pengguna di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor akan dilakukan secara konvensional sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Dengan itu, TNB dalam kenyataan memberitahu, bil pengguna adalah berdasarkan bacaan sebenar dan bukan bacaan anggaran.
Katanya, bacaan meter itu akan dilakukan mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan keselamatan pengguna dan pembaca meter terjamin.
"TNB ingin menasihatkan pengguna untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh PKPB memandangkan penggunaan elektrik isi rumah mungkin akan meningkat ekoran saraan kerajaan agar orang ramai mematuhi arahan sama ada berada di rumah, bekerja dari rumah mahupun menghadiri sesi pembelajaran secara maya," katanya di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, pengguna akan terus menikmati Diskaun Rangsangan Ekonomi sehingga 50 peratus untuk penggunaan elektrik bulanan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin
Rakyat (PRIHATIN) yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
"Inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada lebih 7 juta pengguna kediaman ini diteruskan bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan pemulihan semula ekonomi negara ketika ini. Maklumat lanjut mengenai diskaun boleh diperolehi di www.tnb.com.my/prihatin," ujarnya.
Bagaimanapun, kenyataan itu berkata, Kedai Tenaga di kawasan PKPB akan terus beroperasi seperti biasa bagi kemudahan para pelanggan bermula 9 pagi hingga 4 petang manakala kiosk TNB antara
8:15 pagi sehingga 10 malam.
Sementara itu, kenyataan itu turut mengesyorkan beberapa saraan kepada pengguna untuk lebih peka dengan corak penggunaan elektrik dan mengamalkan panduan yang praktikal seperti berikut:
1) Memastikan semua pintu, tingkap dan lubang edaran udara tertutup rapi ketika menggunakan pendingin hawa supaya hawa sejuk tidak keluar dari bilik.
Gunakan kipas bagi membantu menyejukkan hawa bilik agar suhu pendingin hawa dapat dilaraskan lebih tinggi (antara 24 ke 26 darjah Celcius) bagi menjimatkan tenaga.
2) Membersihkan penapis pendingin hawa bagi memaksimumkan proses penyejukan.
Penapis yang kotor menghalang aliran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.
3) Mengelakkan mencuci pakaian menggunakan air panas, melainkan sekiranya perlu dan menggunakan mesin basuh dengan muatan penuh.
4) Mengurangkan penggunaan pengering pakaian. Ambil kesempatan cuaca panas untuk mengeringkan pakaian secara semula jadi.
5) Menutup suis dan menanggalkan palam peralatan elektrik apabila tidak digunakan serta tidak membiarkan peralatan elektrik seperti kipas dibiarkan terpasang di dalam bilik yang kosong.
6. Sekiranya mandi menggunakan alat pemanas air, kurangkan tempoh mandian.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kaedah penggunaan tenaga yang berhemah dan bijak dengan melayari pautan https://www.mytnb.com.my.