Baca 'Amok at Chow Kit' untuk ketahui kisah benar Prebet Adam
Dania Zainuddin
Ogos 22, 2017 17:24 MYT
Ogos 22, 2017 17:24 MYT
Kebenaran itu pahit, tetapi itulah yang terpaksa ditelan.
Demikian kata penulis Syahril A Kadir mengenai buku terbaharunya, Amok at Chow Kit yang diterjemah dari buku Konfesi Prebet Adam ke dalam bahasa Inggeris.
Buku ini mengupas kisah benar Prebet Adam Jaafar yang bertindak untuk menembak secara rambang di sekitar Chow Kit, 30 tahun lalu.
Bekas wartawan Utusan Malaysia itu telah menemubual Adam sendiri, peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Leftenan Jeneral (R) Datuk Abdul Ghani Abdullah, pegawai tentera yang berjaya memujuk Adam untuk menyerahkan diri pada ketika itu.
"Setelah 30 tahun, kita berjaya menceritakan kebenaran di sebalik segala yang berlaku. Saya bersyukur ramai yang berminat nak tahu apa yang berlaku.
"Inilah masanya untuk kita ikuti luahan hati sebenar dari mangsa, dalam keadaan ini, Prebet Adam sendiri.
"Kita ceritakan segalanya, daripada dia kecil sampai besar secara menyeluruh, meliputi perundangan dan juga pengakuan bersumpah yang dibuat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang baru-baru ini," kata Syahril.
Menurut Syahril, sejak tragedi yang berlaku pada Oktober 1987 itu, Adam telah difitnah kononnya mahu membalas dendam atas kematian adiknya yang dikatakan dibunuh Almarhum Sultan Iskandar.
Namun, perkara itu tidak benar, malah Adam mengamuk kerana menjadi mangsa penderaan fizikal dan seksual yang di luar batas kemanusiaan ketika bertugas di kem tentera.
"Pengajarannya, mungkin ada ramai lagi di luar sana yang menjadi mangsa ketidakadilan dan menjadi kambing hitam.
"Kebenaran akan akhirnya terserlah, dalam hal ini akhirnya Adam mendapat kebenaran itu.
"Tetapi itulah, dia perlu melalui satu perjalanan yang sungguh panjang dan sangat memeritkan bagi seorang manusia yang normal," katanya.
Jelas Syahril, sebelum buku dicetak manuskrip itu sudah diserahkan kepada Adam terdahulu.
"Apa yang dicetak semua sudah dalam pengetahuan Adam. Apabila dia berpuas hati, kita baru mulakan cetakan.
"Mengenai Adam, dia kini gelandangan, dan saya harapkan dia yang hubungi saya. Saya percaya dia di luar sana mengetahui apa yang berlaku," kata Syahril," katanya.
Sementara itu, katanya buku Konfesi Prebet Adam telah menerima sambutan memberangsangkan.
"Kalau kita tengok ketika pesta buku antarabangsa baru-baru ini, buku tersebut adalah antara yang terlaris dan mendapat nombor satu di dalam ranking.
“Disebabkan permintaan yang tinggi, kami hasilkan buku dalam versi Inggeris 'Amok At Chow Kit'," katanya.
Setakat ini, kira-kira 10,000 buku Konfesi Prebet Adam sudah dijual sejak dilancarkan 4 bulan lalu.
#adam jaafar
#Amok at Chow Kit
#KOnfesi Prebet Adam
#mahkamah
#mangsa
#Prebet Adam
#SYahril A Kadir
#tentera