BAC 2024: Zii Jia ke suku akhir

Bernama
April 11, 2024 16:00 MYT
Keputusan hari ini merupakan kemenangan keempat Zii Jia ke atas Tien Chen daripada sembilan pertemuan mereka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia menepati ramalan mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024, selepas mengetepikan cabaran wakil Taiwan Chou Tien Chen hari ini.
Pemain pilihan kelapan kejohanan itu mengambil masa 30 minit untuk menundukkan lawan 21-15, 21-17 dalam pusingan kedua yang berlangsung di Ningbo Olympic Sports Center Gymnasium, Ningbo, China.
Keputusan hari ini merupakan kemenangan keempat Zii Jia ke atas Tien Chen daripada sembilan pertemuan mereka.
Pemain ke-11 dunia itu akan berjumpa sama ada pilihan ketiga kejohanan Jonatan Christie dari Indonesia, atau wakil Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, pada peringkat suku akhir esok.
Semalam, pemain berusia 26 tahun itu memulakan kempen di BAC 2024 dengan kemenangan selesa 21-9, 21-13 ke atas pemain dari India, Priyanshu Rajawat
-- BERNAMA
#BAC 2024 #Chou Tien Chen #Lee Zii Jia #kejohanan badminton asia
;