'Babi makan babi' antara punca penyebaran ASF di Sarawak

Fadilah Sulaiman
Februari 15, 2022 13:23 MYT
ASF telah menjangkiti beberapa ladang ternakan di Sibu dan Sarikei mengakibatkan dua bahagian berkenaan diisytihar sebagai Kawasan Dijangkiti ASF pada 14 Januari lalu sehingga kini. - Gambar fail
KUCHING: Pemberian sisa daging babi yang tercemar sebagai makanan bagi babi ternakan dikenal pasti sebagai antatra punca jangkitan Demam Babi Afrika (ASF) di Sarawak.
Justeru Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, menggesa semua penternak haiwan itu untuk menghentikan amalan berkenaan.
“Pemberian makanan swill menggunakan sisa dapur harus dihentikan kerana produk makanan yang tercemar (termasuk daging babi) sering menjadi punca penyebaran ASF,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua penternak babi di Sibu dan Sarikei untuk terus meningkatkan biosekuriti ladang susulan pengisytiharan bahagian tersebut sebagai Kawasan Dijangkiti ASF pada 14 Januari 2022 berkuat kuasa sehingga kini.
ia boleh dilakukan dengan tidak menggalakkan lawatan ladang dan tidak membenarkan kemasukan kenderaan yang tidak dibersihkan dan dinyah cemar dengan betul.
Tambah Rundi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan terus memantau semua ladang babi, sama ada ladang komersial, ladang pekebun kecil dan juga babi asli yang dipelihara di kampung dan rumah panjang.
Jelasnya, program pemantauan tersebut termasuklah pengawasan klinikal dan serologi untuk mengenal pasti penyebaran ASF di kedua-dua bahagian ini.
“Saya cukup gembira kerana JPVS telah berjaya membendung penyakit ini dan saya ingin memohon kerjasama daripada semua pihak terutamanya pihak pengeluar untuk mengamalkan kaedah penternakan yang baik dengan mengukuhkan biosekuriti ladang, penjual daging, peruncit serta pengangkutan dalam keadaan bersih dan proses sanitasi yang ketat.
“Hanya jika kita bekerjasama, kita dapat menghentikan penularan Demam Babi Afrika,” tambahnya.
ASF merupakan penyakit bawaan virus yang hanya menyerang babi namun boleh mengakibatkan kerugian ekonomi yang serius kepada penternak tempatan selain memberi kesan kepada keselamatan makanan.
BACA: ASF: Ladang babi di Sibu ditutup, ternakan dimusnahkan - Dr Rundi
#Demam Babi Afrika ASF #Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom #Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak JPVS #Babi
;