Babi hutan di Alamanda: Sebuah premis ditutup untuk kerja-kerja pembersihan
Bernama
Disember 7, 2020 19:40 MYT
Disember 7, 2020 19:40 MYT
PUTRAJAYA: Operasi Pusat Beli-belah Alamanda di sini berjalan seperti biasa hari ini, kecuali premis perniagaan diceroboh oleh babi hutan sekitar tengah hari semalam, yang ditutup buat sementara waktu, sehingga dimaklumkan oleh notis berikutnya nanti.
Pihak pengurusan Alamanda dalam kenyataan hari ini berkata penutupan itu bertujuan memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan menyeluruh yang mematuhi hukum-hukum Islam, dengan panduan rapi Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), serta tindakan membuang pakaian-pakaian yang dikenal pasti "tercemar" susulan pencerobohan haiwan liar itu.
Menurutnya kawasan umum di pusat beli-belah berkenaan, terutama tempat-tempat babi hutan itu dilihat semalam, juga perlu dibersihkan dan disanitasi.
"Alamanda menjangka kejadian semalam tidak memberikan sebarang kesan kepada perniagaan di pusat ini, kerana kes berkenaan berjaya dikawal dengan baik, dan Alamanda akan tetap dibuka serta terus beroperasi seperti biasa," menurut kenyataan itu.
Menurut pengurusan Alamanda, babi hutan itu dilihat memasuki Alamanda sekitar pukul 12.20 tengah hari dari kawasan tempat letak kereta di P3, yang dipercayai terlepas dari kawasan hutan yang berhampiran.
Katanya pihak keselamatan cuba mengejar babi hutan itu keluar dari kawasan berkenaan, namun haiwan liar itu lari dan masuk ke dalam sebuah kedai di tingkat bawah.
Pasukan bomba dan penyelamat Putrajaya dipanggil sebaik sahaja pihak pengurusan Alamanda dimaklumkan mengenai insiden itu.
Menurutnya pengunjung kedai itu telah keluar sebelum ketibaan bomba bagi menangani keadaan, dan pada kira-kira 1.05 tengah hari, bomba berjaya membawa haiwan itu keluar dari Alamanda.
"Tiada yang lebih penting bagi kami selain keselamatan dan kepentingan pengunjung, peruncit serta para petugas, semasa kami terus mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan komuniti kita terjamin," menurut kenyataan berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pula dalam satu kenyataan berasingan berkata pihaknya akan memasang perangkap di persekitaran berhampiran kawasan pusat beli-belah Alamanda di sini, bagi mengawal populasi haiwan liar itu.
Menurut Perhilitan, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) meningkatkan pemantauan di kawasan itu; dan PPj serta Pengurusan Alamanda juga akan menambah baik pengurusan sampah bagi mengelak kehadiran babi hutan pada masa akan datang.
Menurut Perhilitan, hasil siasatan bersama Unit Hidupan Liar PPj mendapati babi hutan yang memasuki Alamanda itu berasal dari kawasan berhampiran Tasik Presint 16, di sini, dan terdahulu ia telah tersesat dari kumpulannya.
-- BERNAMA