Babah pergi mendadak, saya masih terkejut - Anak Pyanhabib
Faida Rahim
Jun 5, 2024 11:15 MYT
Jun 5, 2024 11:15 MYT
HULU KELANG: Anak Allahyarham seniman Pyanhabib, Najihah Mohd Supyan mengakui masih terkejut dengan pemergian bapanya malam tadi.
Menurutnya, arwah bapanya yang dipanggil 'babah' dan baru menyambut ulang tahun ke-66 pada 27 Mei lalu, tidak pernah berdepan dengan sebarang penyakit kronik.
“Babah memang sekejap sakit kejap sihat, cuma kebelakangan ini kesihatan dia merosot. Kali terakhir berjumpa babah minggu lalu di rumahnya.
"Apabila saya dah balik ke rumah sendiri, semalam mak telefon saya minta balik semula. Adik pun kata, baliklah. Saya tanya, kenapa?
"Sebab, di rumah ada nenek juga yang tak sihat. Saya tak jangka babah yang dah tak ada,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu, anak sulung dua beradik ini mengakui akan merindui sosok bapanya yang amat mengambil berat perihal anak-anaknya.
“Babah sentiasa pesan supaya hati-hati sebelum buat apa-apa. Tak kira apa pun, babah ambil berat dengan keadaan saya dan adik.
"Walaupun dah berusia 31 tahun ini, dia masih manjakan saya. Itu yang saya akan rindu nanti,” katanya.
Mohd Supyan Abdul Rahman, yang lebih dikenali sebagai Pyanhabib, meninggal dunia di kediamannya di AU4 Keramat, malam tadi.
Jenazahnya dimandikan di Masjid As Sobihin di Lembah Keramat, Ampang, pagi ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4.
Allahyarham Pyanhabib berasal dari Taiping, Perak, aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama kumpulan Anak Alam.
Allahyarham juga terbabit dalam teater dan lakonan filem, serta menulis beberapa buku.
Anak Alam ialah kumpulan seni yang diasaskan pada dekad 1970-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.
Pada tahun 2023, Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Di pentas lakonan, Pyanhabib berjaya membawa watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.