Aznil hargai karyawan legenda dalam 'Yang Dulu'
Astro Awani
Januari 5, 2021 13:33 MYT
Januari 5, 2021 13:33 MYT
PENGACARA tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi mengakui beliau cukup beruntung kerana berpeluang berkarya di lingkaran era artis lama dan artis baharu atau lebih dikenali sebagai Budak Baru Nak Up (BBNU).
Sehubungan itu, bersandarkan pengalaman serta pengaruh yang dimiliki, beliau yang lebih mesra disapa sebagai Pak Nil tergerak hati mengambil langkah untuk melakukan sebuah rakaman penghargaan kepada legenda seni tanah air bagi berkongsi pengalaman mereka melalui ranjau kehidupan.
Buah fikirannya diterjemahkan ke produksi Yang Dulu iaitu sebuah program televisyen yang sarat menyimpan nilai kasih sayang daripada beliau buat seniman dan seniwati handalan negara.
Kepada Aznil, sumbangan besar anak-anak seni terdahulu daripadanya sesuatu yang wajar dihargai dan dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia.
Personaliti berusia 58 tahun itu berkata, sudah lama beliau merancang untuk mengendalikan sebuah program yang menzahirkan penghargaan kepada karyawan seni veteran.
Selepas sekian lama merancang, baru kini beliau berjaya merealisasikannya di kaca televisyen.
Program yang diberi tajuk Yang Dulu adalah naskhah terbaharu berdurasi 30 minit yang diterbitkan sebanyak 25 episod secara eksklusif.
Yang Dulu merupakan rancangan temu bual eksklusif terbitan Astro Prima (saluran 125) yang menyingkap kisah artis veteran tanah air dan telah mula bersiaran pada 1 Januari lalu.
“Rancangan ‘Yang Dulu’ ini sebenarnya daripada saya sendiri, di mana saya ingin memberikan satu penghargaan kepada penyanyi, pelakon, bintang lama, pelawak-pelawak lama.
“Yang mana sudah tentunya kita macam singgah sekejap ke dalam perjalanan kerjaya mereka kerana kadang-kadang kita terlalu fokus kepada anak-anak muda, terutama BBNU.
“Legenda-legenda ini mempunyai kehidupan yang sangat berbeza dengan anak-anak seni sekarang, mereka bersusah payah memerah keringat bagi mendapat tempat dalam bidang seni,” ujar Pak Nil dalam temu bual dengan Astro AWANI.
Apa yang ada dengan 'Yang Dulu'?
Program berkgonsepkan dokumentari itu bakal menampilkan 25 orang artis lama yang telah menempa nama dalam industri sejak berpuluh-tahun dahulu sehingga menjadi nama yang tidak asing lagi sehingga ke hari ini.
Antara nama besar yang menjayakan musim pertama itu termasuk Datuk M Daud Kilau, Datuk David Arumugam, Datuk Rosnani Jamil, Datuk Jeffrydin, Datuk Ahmad Nawab, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Malek Noor, Mamat Khalid, Bob Lokman, Man Keedal, AR Badul, Herman Tino, Ja'afar Onn, Ruminah Sidek, Uji Rashid, Salamiah Hassan, Norlia Ghani dan Fauziah Nawi.
Menurut Pak Nil, program Yang Dulu membawakan pelbagai kisah, emosi serta perkongsian yang boleh dimanfaatkan oleh pemain industri hiburan ketika ini.
“'Yang Dulu' ini kami tidak buat perbandingan, saya banyak meminta artis lama memberi bimbingan nasihat, itu sahaja.
“Ini bukan satu rancangan untuk kita berdebat, membuat analisa bijak pandai, ini adalah rancangan untuk kita menghargai bintang-bintang lama.
“Mereka yang menonton rancangan ini, pastinya akan membawakan pemikiran yang lebih panjang yang mana mereka akan mentafsir, adakah aku masih sama dengan artis zaman dahulu?
“Sedangkan perbezaannya adalah 20 - 30 tahun, itulah idea sebenarnya 'Yang Dulu' yang cuba saya sampaikan di samping mengetengahkan pengajaran dan kisah jatuh bangun mereka selama ini,” tambah beliau lagi.
* Yang Dulu boleh ditonton pada setiap hari Jumaat pukul 7 petang di saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105).
** Anda juga boleh menyaksikan rancangan ini menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan strim 'on demand' untuk pilihan lebih fleksibel.