Aznan Abdul Aziz dilantik Timbalan Gabenor berkuat kuasa 1 April, 2025 - BNM

Bernama
Mac 14, 2025 18:55 MYT
Aznan Abdul Aziz (kiri) dan Cindy Siah Hooi Hoon. - Foto Bank Negara Malaysia
KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan telah meluluskan pelantikan Aznan Abdul Aziz sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 April, 2025.
BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata Aznan akan memantau sektor penyeliaan dan pengawalan serta menjadi ahli Lembaga Pengarah BNM dan Jawatankuasa Dasar Monetari.
"Beliau juga akan terus menganggotai pelbagai jawatankuasa BNM, termasuk Jawatankuasa Pengurusan Rizab, Pengurusan Risiko, Kestabilan Kewangan, Dasar Bersama, Jawatankuasa Penguatkuasaan, Jawatankuasa Digital dan Teknologi serta Jawatankuasa Pengurusan Krisis," katanya.
Aznan merupakan pemegang Ijazah Ekonomi dan Perakaunan daripada University of Bristol, United Kingdom.
Pada masa ini, beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Audit Lembaga bagi International Islamic Liquidity Management Corporation, ahli Lembaga Pengarah dan ahli Jawatankuasa Audit dan Risiko Lembaga bagi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan.
Aznan juga adalah ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi International Association of Insurance Supervisors dan ahli ex officio bagi Yayasan Laporan Kewangan (Financial Reporting Foundation).
Menurut kenyataan itu, Datuk Jessica Chew Cheng Lian telah dilantik sebagai penasihat teknikal berkaitan hal ehwal kestabilan kewangan susulan persaraan beliau daripada BNM.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata Jessica sentiasa memberikan sokongan dan pandangan yang bernas sepanjang perkhidmatan beliau selama 34 tahun bersama bank pusat.
"Saya juga menghargai kesediaan beliau untuk terus menyokong BNM dalam bidang teknikal yang berkaitan dengan kestabilan kewangan," katanya.
Pelantikan lain adalah Cindy Siah Hooi Hoon sebagai Penolong Gabenor BNM.
Beliau akan bertanggungjawab ke atas jabatan Penyeliaan Konglomerat Kewangan, Penyeliaan Perbankan, Penyeliaan Insurans dan Takaful, Pakar Risiko dan Penyeliaan Teknologi serta Pemantauan Perkhidmatan Pembayaran, kata bank pusat
-- BERNAMA
#aznan abdul aziz #Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia #pelantikan #Abdul Rasheed Ghaffour
;