Azmin, Zuraida tampung kos sewa keluarga terjejas akibat tanah runtuh
Farhana Joni
Mei 30, 2020 12:25 MYT
Mei 30, 2020 12:25 MYT
Seramai 40 ahli keluarga dari tujuh buah rumah yang terjejas akibat tanah runtuh di Taman Kelab Ukay di sini diarahkan supaya meninggalkan kediaman masing-masing dalam tempoh 48 jam.
Kesemua mereka akan ditempatkan selama dua malam di Hotel De Palma sebelum masing-masing mencari kediaman sementara untuk disewa selama enam bulan.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan, Zuraida Kamaruddin, kos penginapan di hotel dan sewa selama enam bulan bagi tujuh keluarga terbabit akan ditanggung sepenuhnya oleh beliau dan Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Mereka perlu tinggalkan tempat ini dalam tempoh 48 jam dan pindah ke Hotel De Palma untuk dua malam sementara memikirkan tempat (kediaman) berbentuk sementara selama enam bulan.
"Saya dan Datuk Seri Mohamed Azmin Insya-Allah akan tampung kos penyewaan bagi tempoh enam bulan itu, jadi ini adalah penyediaan awal untuk mangsa-mangsa yang terjejas," katanya anggaran sewa yang akan ditanggung untuk sebuah keluarga adalah RM3,000 sebulan.
Jelas Zuraida, kementeriannya menganggarkan kos awal untuk membaiki tanah yang terjejas adalah RM2 juta dan ia akan mengambil masa selama enam bulan.
"Anggaran kos awal yang boleh kita buat secepat mungkin dalam RM2 juta dan akan ambil masa enam bulan.
"Ini (peruntukan) boleh saya luluskan serta-merta bagi membolehkan MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) terus ambil tindakan," katanya.
#bomba
#Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
#Hotel De Palma
#MPAJ
#Taman Kelab Ukay
#tanah runtuh
#tujuh rumah
#Zuraida Kamaruddin