Azmin, Zuraida kini ahli Majlis Tertinggi Bersatu

Firdaus Azil
September 8, 2020 08:04 MYT
Setiausaha Agung parti Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pelantikan itu telah dibuat oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Gambar fail/BERNAMA
Bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, dan bekas Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, telah dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pelantikan itu telah dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.
Hamzah berkata, pelantikan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 7 September, 2020.
Turut dilantik sebagai MPT Bersatu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Selain itu, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan dilantik sebagai Ketua Penerangan Bersatu yang baharu, menggantikan Dr Mohd Radzi Jidin Md Jidin, yang kini memegang portfolio Pengerusi Biro Latihan & Pengkaderan.
Dalam pada itu, Azmin, yang juga Menteri Kanan, turut dilantik sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu, manakala Datuk Mas Ermieyati Samsudin telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Parti.
#Azmin Ali #Hamzah Zainuddin #majlis tertinggi #MPT Bersatu #Muhyiddin Yassin #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Perdana Menteri #PPBM #Wan Saiful Wan Jan #Zuraida Kamaruddin