Azmin yakin pengambilalihan aset PNHB oleh air Selangor selesai 15 Okt ini
Bernama
Oktober 4, 2015 08:54 MYT
Oktober 4, 2015 08:54 MYT
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yakin proses pengambilalihan aset air Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dapat diselesaikan pada 15 Oktober ini, setelah tertangguh sebanyak lapan kali.
Beliau berkata pada masa ini, PNHB dan Air Selangor sedang berbincang bagi menyelesaikan beberapa isu teknikal membabitkan pengambilalihan syarikat berkenaan dan percaya ia dapat diselesaikan mengikut tarikh yang dipersetujui.
"Saya yakin pengambilalihan sepenuhnya industri air oleh Air Selangor ini akan lengkap menjelang 15 Okt ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan gudang baharu milik Baiduri Dimensi di sini, Sabtu.
Turut hadir Pengarah Urusan Baiduri Dimensi, Musa Muhammad dan Ketua Pegawai Eksekutif Zon Perdagangan Bebas Cukai Pelabuhan Klang (PKFZ), Datuk Chia Kon Leong.
Lembaga Pengarah PNHB pada 14 Sept lepas bersetuju melanjutkan tempoh pengambilalihan buat kali kelapan, selama sebulan bermula 14 Sept sehingga 15 Okt bagi membolehkan Air Selangor memenuhi syarat terdahulu di bawah perjanjian jual beli bersyarat bertarikh 11 Nov 2014.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin memberi jaminan kepada pihak industri dan pengguna domestik bahawa penyediaan bekalan air terawat yang mencukupi akan menjadi fokus utama kerajaan negeri setelah proses mengambilalih industri air di Selangor, selesai sepenuhnya.
"Dengan pengambilalihan ini serta perlaksanaan Projek Mitigasi 2 dan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2), saya yakin Selangor akan mempunyai bekalan air mentah yang mencukupi bagi kegunaan semua pengguna," katanya.
Sebelum ini, beberapa pemain industri di negeri itu termasuk syarikat pembuat sarung tangan, Top Glove Corporation Berhad menggesa kerajaan Selangor memastikan bekalan air mentah terawat mencukupi bagi industri mereka.