Azmin tidak ada rasa hormat kepada parti dan perjuangan - Akmal
Astro Awani
November 14, 2019 19:20 MYT
November 14, 2019 19:20 MYT
Kepimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia telah membuat keputusan yang tepat dan terbaik untuk memastikan kelangsungan Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 dengan menjemput Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Wan Azizah sebagai perasmi.
Itu reaksi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Akmal Nasir berhubung kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa kongres itu cuba 'menutup mulut' beliau selepas tidak dipelawa sebagai perasmi kongres berkenaan.
Menurut Akmal, tindakan pembatalan jemputan Azmin adalah disebabkan kegagalan Azmin sendiri yang tidak memberi jawapan selepas enam minggu surat jemputan dikirimkan.
“Saya cuba sebaiknya menguruskan isu ini dengan mengekalkan perbincangan secara dalaman dan tidak mengheret media, ternyata beliau tidak lagi ada rasa hormat kepada parti dan perjuangan.
“Keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK pada 20 Oktober 2019 untuk membatalkan jemputan kepada beliau adalah disebabkan kelemahan Saudara Azmin sendiri untuk memberi jawapan selepas diberi tempoh selama 6 minggu (surat jemputan bertarikh 11 September 2019) untuk berbuat demikian,” tulis Akmal dalam kenyataan medianya pada Khamis.
Jelas Akmal lagi, Azmin juga gagal hadir ke mesyuarat parti Majlis Pimpinan Pusat (MPP) atau Biro Politik selama setahun dan seringkali mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan disiplin parti serta semangat Pakatan Harapan seperti dalam isu “tangan ghaib” dalam KEADILAN.
Tambahnya lagi, Kongres Nasional Tahunan AMK adalah platform untuk menyuarakan isu-isu kepentingan rakyat terutamanya berkenaan isu anak muda seperti pendidikan, peluang pekerjaan serta kos sara hidup dan bukannya isu politik kelompok yang berkepentingan.
Kata Akmal lagi, Angkatan Muda KEADILAN Malaysia akan terus mendokong prinsip kesatuan dan hormat kepada disiplin parti agar kestabilan dan pengukuhan parti terus dilindungi.
“Jika beliau menganggap kekuatan seseorang pemimpin itu adalah wujud dengan memulaukan mesyuarat parti dan tidak mempunyai displin organisasi, pemimpin tersebut tidak lagi memiliki ciri-ciri seorang pemimpin KEADILAN.
#anak
#Azmin Ali
#Malaysia
#Pakatan Harapan
#Parti Keadilan Rakyat
#pendidikan
#PKR
#politik
#Wan Azizah