Azmin perlu kekal di PKNS, penyingkiran tidak sah - Anwar

Irwan Muhammad Zain
Januari 16, 2014 14:14 MYT
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penyingkiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak sah kerana dibuat tidak mengikut peraturan.
Anwar berkata proses yang dibuat untuk tidak melantik semula Azmin dalam lembaga pengarah PKNS tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.
"Dari segi prosedur, pengurus besar tidak ada kuasa untuk singkir mana-mana lembaga pengarah, ia kuasa tuan punya syarikat iaitu kerajaan negeri dan exco.
"Jadi oleh kerana tidak mengikut prosedur, Azmin masih kekal sebagai lembaga pengarah dalam PKNS," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.
Anwar juga menyifatkan tidak ada alasan munasabah untuk menyingkirkan Azmin daripada lembaga pengarah kerana rekod baik yang ditunjukkan Ahli Parlimen Gombak selama ini.
"Tidak ada alasan munasabah untu singkirkan Azmin," katanya.
Ketua Pembangkang itu juga menegaskan keputusan menyingkirkan Azmin dibuat tanpa sebarang persetujuan bersama dan tanpa merujuk kepimpinan Pakatan Rakyat terlebih dahulu.
"Ya, apa yang saya cuba katakan ialah tidak ada orang yang menyokong penyingkiran Azmin.
"Jadi, Azmin masih sah sebagai lembaga sehingga tempoh akhirnya pada tahun 2015," katanya lagi.
Sementara itu, Azmin yang turut hadir pada sidang media itu enggan mengulas lanjut kemelut yang melibatkan dirinya dan menteri besar Selangor.
"Penjelasan yang dibuat Datuk Seri Anwar memadai, saya tidak ada komen lanjut dan saya percaya perkara ini boleh dimuktamadkan dengan cara baik," kata Azmin.
Pada sidang media selepas mesyuarat exco semalam, Khalid menjelaskan keputusan untuk tidak memperbaharui kontrak Azmin dicadang oleh Pengurus Besar PKNS, Othman Omar.
Beliau juga menafikan keputusan menyingkirkan Azmin dibuat oleh exco sebaliknya hanya meluluskan cadangan yang telah dibuat Othman.
Bagaimanapun, PKNS hari ini menafikan kenyataan yang dibuat Khalid sebaliknya keputusan menyingkirkan Azmin dibuat Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 13 November 2013 dan disahkan oleh MKKN pada 4 Disember 2013.
Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, kuasa lantikan ahli perbadanan itu terletak pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri.
#Anwar Ibrahim #gugur Azmin #Khalid Ibrahim #PKNS
;