Azmin mulakan misi pelaburan dengan tunai umrah
Isabelle Leong
April 27, 2021 14:27 MYT
April 27, 2021 14:27 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memulakan misi perdagangan dan pelaburan ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan menunaikan ibadah umrah.
Mohamed Azmin menerusi satu ciapan di Twitter pada Selasa berkata, beliau turut mengambil kesempatan untuk berdoa di Bukit Marwah.
“Saya memulakan misi pelaburan ke Arab Saudi dan UAE dengan solat Isyak dan Tarawih di Masjidil Haram serta mengerjakan ibadah umrah.
“Sebelum bertahallul saya berdoa di Bukit Marwah, mengambil berkat dari kisah Siti Hajar berlari-lari antara Safa dan Marwah untuk mencari air untuk Nabi Ismail yang kedahagaan,” katanya.
Pada Ahad, MITI menerusi satu kenyataan memaklumkan Azmin mengetuai mengetuai Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Arab Saudi dan UAE mulai 26 April hingga 4 Mei ini.
Menurut MITI, misi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempromosikan peluang perniagaan dan kerjasama strategik antara Malaysia dan rantau Asia Barat.
Kenyataan itu juga menyebut, misi tersebut diharapkan dapat mengekalkan mengekalkan momentum hubungan ekonomi antara Malaysia dan kedua-dua negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dan rakan perdagangan dengan meningkatkan keyakinan komuniti perniagaan di kedua-dua negara itu.
Dalam kunjungan berkenaan, Azmin dijangka bertemu Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr. Majid Abdullah Alkassabi dan beberapa lagi menteri kanan bagi membincangkan isu dan kerjasama dua hala utama dalam bidang kepentingan bersama, termasuk kerjasama ekonomi dua hala dan serantau, kewangan dan langkah pemulihan ekonomi pasca COVID-19.
#Azmin Ali
#Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
#ibadah umrah
#COVID-19
#Arab Saudi
#UAE
#Bukit Marwah
#MITI
#misi perdagangan dan pelaburan
#Dr Majid Abdullah Alkassabi
#Asia Barat