Azmin menangis lagi ...
Harits Asyraf Hasnan
Jun 18, 2018 18:11 MYT
Jun 18, 2018 18:11 MYT
Linangan air mata mengiringi hari terakhir Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 dalam sebuah majlis perpisahan yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Air mata dan kesedihan menyelubungi suasana di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) ini, malah turut dirasai Mohamed Azmin.
Air mata perpisahan kakitangan SUK turut mengiringi minit-minit terakhir beliau menjejakkan kaki ke pejabatnya di bangunan pentadbiran Negeri Selangor tersebut.
Sewaktu bacaan doa oleh Timbalan Mufti Selangor, Datuk Anhar Opir, Mohamed Azmin spontan mengeluarkan sapu tangan untuk mengelap air mata.
Mohamed Azmin sebelum itu menyampaikan amanat terakhir kepada semua penjawat awam di Selangor.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu turut berkata, Selangor akan tetap menjadi negeri paling dekat dihatinya walaupun beliau kini bertugas di Putrajaya.
“Insya-Allah, tugas saya yang baharu sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi ini yang bertanggungjawab untuk merencana dasar ekonomi yang lebih rancak dan kuat, mencipta nilai, mencipta pekerjaan dan meningkatkan dan menjana pertumbuhan ekonomi negara dan merangsang pertumbuhan yang mampan, serta meningkat lagi pelaburan langsung asing pastinya akan dapat membantu memulihkan ekonomi negara dan mengangkat martabat rakyat keseluruhannya,” katanya.
Beliau sebelum itu mengetip kad perakam waktu pada pukul 4.30 petang selain berjumpa dengan pengurusan tertinggi kerajaan negeri Selangor iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Nor Azmie Diron.
#air mata
#Azmin Ali
#ekonomi
#Malaysia Baharu
#Mohd Amin Ahmad Ahya
#Nik Suhaimi Nik Sulaiman
#Nor Azmie Diron
#Pakatan Harapan
#penjawat awam
#Putrajaya
#setiausaha kerajaan negeri
#SUK