Azmin lawat keluarga Allahyarham Aminulrasyid ditembak

Anthea Yap
Mac 25, 2016 07:11 MYT
Menurut Mohamad Azmin, kunjungan ini bagi memberikan sokongan moral kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid. - Gambar fail
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melawat keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak anggota polis enam tahun lalu di kediamannya di Seksyen 11, Shah Alam.
Beliau tiba di kediamannya sekitar jam 5 petang di sini pada Jumaat dan meluangkan masa selama setengah jam bagi menemui keluarga Allahyarham.
Hadir bersama beliau adalah Presiden Keadilan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Menurut Mohamad Azmin, kunjungan ini bagi memberikan sokongan moral kepada keluarga berkenaan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan tuntutan ganti rugi selepas penantian hampir tiga tahun.
"Kita hadir untuk menyatakan sokongan moral kita kepada keluarga Allahyaraham dan sudah pastilah ini satu kehilangan yang besar kepada keluarga Allahyarham.
"YB Datuk Seri Wan Azizah dan saya menyatakan sokongan kita kepada ibu beliau dan keluarga dan kita mendoakan semoga roh Allahyarham mendapat husnul khatimah pengakhiran yang baik," katanya di sini.
Sementara itu, ibu Allahyarham Norsiah Mohamad, 67, menyifatkan keputusan mahkamah itu merupakan berita yang menggembirakan mereka.
"Keputusan yang kita dapat tahu hari ini Alhamdulillah bukan kerana wang ini, kerana bersihkan maruah saya, maruah anak saya, maruah keluarga saya itu saja," katanya di sini.
Pada Khamis, keluarga kepada Allahyarham Aminulrasyid berjaya mendapatkan ganti rugi bernilai hampir RM414,800 setelah Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan tuntutan mereka.
Mahkamah juga membenarkan tuntutan mereka terhadap Ketua Polis Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebanyak RM100,000 atas dakwaan memberikan kenyataan cuba menyembunyikan tindakan pegawai bawahannya.
Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos RM50,000.
Saman difailkan 17 April 2013 oleh kakaknya, Nor Azura, sebagai pentadbir harta Aminulrasyid, bersama ibunya masing-masing sebagai plaintif pertama dan kedua menuntut ganti rugi kecuaian anggota polis Koperal Jenain Subi, 54, serta tiga yang lain.
#Aminulrasyid Amzah #Mohamed Azmin Ali #tuntutan ganti rugi
;