'Azmin, cakap barua kepada Khalid, semua polis terasa jua' - Rani Kulup

Wan Syamsul Amly
Mei 6, 2015 07:56 MYT
RANI KULUP: 'Azmin, cakap barua kepada Khalid, semua polis terasa jua' - Gambar fail
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali diberi amaran untuk tidak memesongkan ungkapan barua yang ditujukan kepada anggota polis kononnya hanya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, frasa barua yang diungkap memang ditujukan kepada semua anggota polis sekali gus menggambarkan Azmin seorang yang tidak bertanggungjawab.
"Azmin sebagai Menteri Besar Selangor menghina seluruh jabatan polis, semua unit di dalamnya apabila menggelar Khalid sebagai barua.
"Semua anggota polis akan terasa hinaan Azmin kepada ketua mereka, jadi tidak ada sebab untuk Azmin kata perkataan barua itu hanya untuk Khalid," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
BACA: Persatuan Polis gesa permohonan maaf terbuka Azmin Ali kepada PDRM
BACA: "Ungkapan 'barua' ditujukan kepada Khalid, bukan seluruh anggota polis"
Abdul Rani mengulas kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei yang menafikan ungkapan 'barua' ditujukan kepada seluruh anggota polis namun hanya kepada Khalid.
Perkataan 'barua" itu dikeluarkan Azmin dalam satu ceramah di Kubang Ulu, Permatang Pauh Isnin lalu.
Kalau panggil Khalid barua, mesti semua anggota polis akan terasa
Terdahulu, Persatuan Pegawai Kanan Polis dan Persatuan Pegawai Rendah Polis mendesak Azmin mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada polis kerana ungkapan berkenaan.
Dalam pada itu kata Abdul Rani, Azmin seharusnya memberi alasan lain yang lebih logik selain mengatakan perkataan barua hanya ditujukan kepada Khalid.
"Pasti anak-anak akan terasa jika kata ayah kita bodoh atau kurang cerdik, situasi sama juga dengan Khalid yang menjadi orang nombor satu kepada institusi polis negara.
"Kalau panggil Khalid barua, mesti semua anggota polis akan terasa," ujarnya.
Jelasnya lagi, masyarakat juga dinasihat untuk tidak menghina institusi polis kerana peranan mereka dilihat penting dalam kehidupan seharian masyarakat.
"Tugas polis adalah kepada rakyat tanpa mengira parti, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat, mana-mana pihak yang menghadapi masalah akan dibantu," katanya.
Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan Azmin terlalu biadab apabila menuduh polis menjadi barua UMNO dan BN.
Tegasnya, PKR kini semakin terdesak sehingga membuat tuduhan kurang siuman terhadap pihak polis dan Khalid.
#Azmin #BN #PKR #polis #rani kulup #UMNO
;