Azmin cabar Najib turun berentap tentang Anwar di Kajang

Aizat Sharif
Januari 29, 2014 12:41 MYT
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali mencabar kepimpinan UMNO untuk menurunkan calon mereka berentap dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 DUN Kajang yang akan datang.
"Kita mencabar UMNO menurunkan calon mereka termasuk juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya turun bertanding di Kajang ini. Mereka tak perlu menurunkan calon-calon daripada MCA, MIC atau Gerakan tetapi calon-calon UMNO yang kononnya dikatakan berwibawa dan menjadi pejuang untuk segala hal dan inilah tempatnya jika mereka berani," kata Azmin.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor menyatakan bahawa tindakan Anwar untuk bertanding di Kajang bukanlah kerana Ketua Umum PKR itu begitu berkehendakkan jawatan ADUN tetapi ianya dilakukan semata-mata untuk membuat satu perubahan besar kepada Kajang dan penduduk Selangor amnya.
"Bukan Datuk Seri Anwar kemaruk sangat nak jadi ADUN tetapi perubahan besar yang hendak kami lakukan akan bermula dari sini di Kajang sebelum perlahan-lahan menginjak ke peringkat negeri Selangor dan kemudiannya ke Putrajaya dan insyallah, dalam masa tiga tahun lagi Putrajaya bakal kita duduki," katanya ketika berucap ketika Majlis Taklimat Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Kajang di Dewan Orang Ramai, Sungai Sekamat disini.
Azmin turut menyatakan bahawa pengunduran Lee sebagai Adun Kajang merupakan suatu gerakan taktikal politik dalam mengukuhkan kedudukan Pakatan Rakyat di Selangor.
“Ianya satu gerakan taktikal politik dan kami memerlukan satu tempat untuk dikosongkan dan segala tindakan dilakukan kerana Anwar merupakan “pemimpin utama” negara yang berkaliber dan bertaraf dunia. Beliau bukan sahaja milik Malaysia, kajang dan Selangor malah, negara Timur Tengah turut memerlukan beliau,” katanya lagi.
Azmin menambah, sebelum Kajang dipilih sebagai tempat untuk meletakkan Anwar bertanding disitu, beliau juga ada menawarkan tempat beliau sendiri, DUN Bukit Antarabangsa kepada Anwar namun ditolak oleh Anwar.
“Malah, Adun Sri Andalas, Dr A. Xavier Jayakumar turut menawarkan tempat beliau kepada Anwar namun akhirnya setelah perbincangan dibuat Kajang dipilih sebagai
Azmin juga menegaskan sekali lagi supaya tiada sebarang spekulasi berkenaan perlantikan Menteri Besar Selangor dilakukan.
“Saya telah menegaskan semalam jangan buat sebarang spekulasi tentang perlantikan Menteri Besar. Hari ini, kita tumpukan seluruh tenaga untuk memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat dalam PRK DUN Kajang,” katanya.
Oleh hal demikian, Azmin berkata PKR menghormati sentimen rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat seperti PAS yang dipetik melalui HarakahDaily menyatakan bahawa seandainya jawatan menteri besar Selangor kosong, PAS Selangor sedia kemukakan senarai calon.
“Saya telah menghubungi Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad dan menyatakan saya menghormati pandangan dan keprihatinan rakan-rakan dalam PAS dan kita akan berbincang dalam satu pertemuan dengan PAS esok,” katanya.
Azmin akan mengadakan perbincangan bersama dengan Iskandar dan juga Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua sebagai persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil itu nanti.
Taklimat yang dihadiri kira-kira 300 orang membincangkan perlaksanaan jentera-jentera pilihan raya PKR bagi menghadapi pilihan raya kecil Kajang.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Kapar, G.Manivannan dan mantan Adun Kajang, Lee Chin Cheh dan pimpinan PKR Selangor yang lain.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, kerusi DUN Kajang dimenangi oleh Lee Chin Cheh dari PKR menewaskan saingannya, Lee Ban Seng (BN) dengan majoriti 6,824.
Kerusi tersebut turut ditandingi oleh Mohamad Ismail dari Berjasa yang memperoleh 1,014 undi dan tiga calon Bebas, iaitu Ir. Mohd Iwan Jefry Abdul Majid, Mohd Khalid Kassim dan Ong Yan Foo.
#ADUN #Anwar Ibrahim #Azmin Ali #cabar #calon #Kajang #N25 DUN Kajang #Najib Tun Razak #pemimpin UMNO #PRK #Timbalan Presiden PKR
;