Azmin bukan saingan saya jadi PM - Anwar Ibrahim
Hasimi Muhamad
Julai 18, 2019 13:13 MYT
Julai 18, 2019 13:13 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, beliau mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelapan.
Dalam masa sama, Presiden PKR itu juga menegaskan, Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu bukan saingannya untuk beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara.
"Biar ini jelas... Ahli Parlimen bersama saya. Pendirian (Pakatan) Harapan kekal tidak ada perubahan (tentang siapa yang bakal jadi Perdana Menteri ).
"PM dan saya bermesyuarat setiap minggu. Saya ada jumlahnya (Ahli Parlimen yang mencukupi), saya mendapat sokongan Harapan dan PM. Jadi tidak adil bagi saya atau Azmin untuk menyatakan sebaliknya, ” katanya dalam sidang media di Parlimen, di sini pada Khamis.
Awal pagi Khamis, seramai 22 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan 14 Ahli Parlimen mendesak Anwar supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh memecah-belahkan parti.
Dalam satu kenyataan media, kesemua 22 ahli MPP dan empat Ahli Parlimen dari parti berkenaan sepakat bahawa kenyataan itu hanya berdasarkan spekulasi semata-mata.
#Anwar dakwa dapat sokongan mencukupi untuk jadi PM
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#Mahathir Mohamad
#Parlimen
#Perdana Menteri