Azmin arah peguam batalkan saman Puncak Niaga

Bernama
November 28, 2017 23:34 MYT
Mohamed Azmin berkata tindakan untuk membatalkan saman ini juga dibuat bagi menjaga kepentingan negeri Selangor. - Gambar fail
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kerajaan negeri akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) berhubung penstrukturan semula industri air di negeri itu.
Mohamed Azmin berkata beliau telah mengarahkan peguam yang mewakilinya dan kerajaan negeri untuk mengambil tindakan itu atas alasan dakwaan Puncak Niaga dalam saman berkenaan tidak berasas.
"Tindakan untuk membatalkan saman ini juga dibuat bagi menjaga kepentingan negeri Selangor," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Smart Desa Selangor, di sini hari ini.
Semalam, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu yang menamakan beliau, Mohamed Azmin dan kerajaan negeri Selangor sebagai defendan-defendan.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Akhtar Tahir menetapkan 23 Jan depan untuk keputusan atau klarifikasi berhubung permohonan Abdul Khalid itu.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 21 Nov lepas, Puncak Niaga berkata tindakan saman dimulakan selepas Abdul Khalid dan Mohamed Azmin didakwa menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengancam untuk menyebab atau memohon atau cubaan untuk menyebabkan Kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.
Sehubungan itu, syarikat konsesi air berkenaan menuntut ganti rugi, faedah ke atas ganti rugi dan kos berhubung perbezaan antara nilai PNSB Water Sdn. Bhd. (dahulu dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada kadar RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion.
Selain itu, plaintif menuntut pertimbangan pembelian sebenar berjumlah RM1.55 bilion di bawah Perjanjian Pembelian Saham bertarikh 11 Nov 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
Pada masa sama, Puncak Niaga juga menuntut ganti rugi, faedah ke atas ganti rugi dan kos berhubung kehilangan peluang perniagaan di dalam dan di luar negara, berjumlah RM13.5 bilion.
-- BERNAMA
#2014 #Abdul Khalid Ibrahim #air #Akta Industri Perkhidmatan Air #konsesi air #Mohamed Azmin Ali #Puncak Niaga #salah guna kuasa #saman #SYABAS #wsia
;