Azmin Ali pertahan tindakan beri lesen operasi air bersih kepada Splash

Bernama
Mac 17, 2015 15:32 MYT
Azmin Ali (gambar) mempertahankan tindakannya mengeluarkan lesen operasi air bersih kepada Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash). - Gambar Fail
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini mempertahankan tindakannya mengeluarkan lesen operasi air bersih kepada Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) seperti yang termaktub dalam perjanjian induk penstrukturan industri air negeri ini.
Beliau berkata pemberian lesen operasi atau lesen ekstradisi air itu dibuat mengikut perjanjian berkenaan yang memberi Splash tempoh setahun untuk membuat keputusan mengenai pelan pengambilalihan susulan daripada perjanjian induk tersebut.
Menurutnya, selain Splash, tiga lagi operator air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) turut diberi lesen yang sama.
"Pada masa ini, disebabkan Splash diberi tempoh sehingga setahun (untuk membuat keputusan berhubung pengambil alihan) setelah perjanjian induk ditandatangani, bagaimana kerajaan negeri boleh batalkan lesen tersebut kerana hak pengeluaran air mereka ada sehingga setahun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Jumaat lepas yang mempersoal tindakan Azmin mengeluarkan lesen itu kerana bercanggah dengan usaha untuk menjadikan rakyat Selangor sebagai pemilik mutlak industri air apabila penstrukturan tersebut dimuktamadkan.
Abdul Khalid turut mendakwa pengambilalihan ekuiti empat konsesi air sepatutnya tidak melebihi RM9.65 bilion seperti dipersetujui sebelum ini dan dikhuatiri langkah yang diambil Azmin itu akan mengakibatkan rakyat Selangor terpaksa membayar lebih daripada jumlah tersebut.
Bekas menteri besar itu membuat kenyataan sedemikian susulan daripada keputusan kerajaan Selangor memutuskan untuk tidak meneruskan rundingan perjanjian penstrukturan industri air di negeri itu dengan kerajaan persekutuan pada 9 Mac lepas.
Malah, Abdul Khalid turut berpendapat kegagalan kerajaan Selangor meneruskan perjanjian penstrukturan semula industri air itu akan menyebabkan syarikat konsesi mengaut keuntungan tidak munasabah dengan mengenakan tarif air tinggi kepada rakyat akibat perjanjian penswastaan yang berat sebelah.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai status pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang dibatalkan pembangunannya pada 16 Feb lepas, Azmin berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dalam minggu ini berhubung sebarang pembangunan infrastruktur di negeri ini.
Katanya pembinaan lebuh raya bukan penyelesaian kepada masalah kesesakan trafik sebaliknya rakyat perlu digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan memberi kerjasama kepada agensi terlibat dalam pembangunan pengangkutan awam di negeri itu untuk menaik taraf serta menambah baik kemudahan tersebut pada masa depan.
"Kita sedang menyiapkan pelan induk untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di negeri ini termasuk kemudahan 'feeder bus' sebagai penyelesaian masalah trafik yang dialami," katanya.
#Azmin Ali #Khalid Ibrahim #Menteri Besar #Selangor #SPLASH #Syarikat Pengeluaran Air Selangor
;