Azmin Ali minta Khalid Ibrahim henti guna PKNS sebagai senjata peribadi

Astro Awani
Februari 7, 2014 11:36 MYT
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali menyelar tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang pemecatan tanpa sebab hampir 30 kakitangannya daripada PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya pagi Jumaat, pemecatandi bawah arahan menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim itu bukan sahaja melanggar undang-undang pekerjaan tetapi juga tidak berperikemanusiaan.
“Ia benar-benar bercanggah dengan prinsip yang didukung oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bahawa semua pekerja perlu dilayan dengan bermaruah dan belas kasihan.
“Tatkala pemecatan serta merta dianggap kejam dan menyebabkan masalah kewangan yang serius kepada pekerja, pampasan gaji dua bulan pula hanya akan menambah kelukaan mereka,” katanya.
Ahli Parlimen Gombak terbabit turut mendesak pihak berkenaan menarik balik pemecatan dengan serta merta dan memohon maaf kepada rakyat Selangor.
Azmin turut meminta Khalid Ibrahim agar berhenti menggunakan PKNS sebagai senjata peribadi terhadap pesaing politiknya demi kepentingan keadilan dan tadbir urus yang baik.
BERNAMA pada Selasa melaporkan hampir 30 kakitangan PHSB diberhentikan serta merta oleh pengurusan syarikat terbabit dengan notis 24 jam menerusi satu notis yang ditandatangani oleh pengerusinya, Datin Paduka Norzalina Zakaria.
Pengurus Pemasaran Kanan PKNS Dr Alif Aiman yang bercakap bagi pihak pekerja yang diberhentikan berkata, mereka terkejut dengan pemberhentian tersebut kerana tiada sebarang perbincangan dibuat sebelum pemecatan terbabit.
PKNS kemudian pada Rabu menyatakan pemberhentian tersebut dilakukan selaras dengan syarat-syarat kontrak pekerjaan pekerja.
Sementara itu pengerusinya Abdul Khalid berkata, pemecatan itu berdasarkan perjanjian integriti yang dilaksanakan di PKNS dalam mematuhi tadbir urus korporat yang baik.
Menurutnya lagi, pemanjangan perkhidmatan kakitangan tersebut tidak diperlukan kerana kakitangan tetap di PKNS sudah mempunyai kepakaran dan pengalaman yang sama.
#30 Kakitangan #Azmin Ali #Khalid Ibrahim #pecat #PKNS
;