Azmin Ali: Jadikan PKR parti masa depan

Irwan Muhammad Zain
Mei 24, 2013 16:41 MYT
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menggesa sayap pemuda dan wanita parti itu untuk bergerak ke arah menjadikan PKR sebagai parti masa depan.
Katanya, barisan kepimpinan anak muda dan wanita itu perlu bersama-sama membangunkan parti secara menyeluruh termasuk mengukuhkan kepimpinan, membina generasi pelapis serta meningkatkan sumber kewangan untuk menguatkan organisasi dan perjuangan.
"Kita mempunyai kesenjangan waktu selama 5 tahun daripada sekarang untuk membina kekuatan parti.
"Segala kekuatan perlu digarap untuk memperkukuhkan organisasi dan struktur KEADILAN sebelum berdepan dengan perang akan datang," katanya semasa berucap merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR ke-9 di sini, hari ini.
Untuk memastikan hasrat itu menjadi kenyataan, Azmin seterusnya mencadangkan penubuhan sebuah institut pendidikan politik yang akan menjalankan latihan kepimpinan dengan sasaran melahirkan 10,000 kader setiap tahun.
Katanya, usaha ini perlu menjadi fokus AMK dan Wanita PKR yang berperanan sebagai nadi kepada usaha kaderisasi bagi membentuk satu gerakan massa yang progresif dan berdaya tahan.
Selain itu beliau juga menekankan kepentingan sumber kewangan untuk pembangunan parti.
Azmin menegaskan sumber kewangan yang kukuh itu perlu dalam usaha membina dan mengurus persepsi rakyat melalui manifesto dan komunikasi politik.
Dalam ucapannya, Azmin juga menjelaskan bahawa PKR telah menunjukkan prestasi yang baik dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan menjadi satu-satunya komponen Pakatan Rakyat yang mempunyai kerusi di kesemua 14 buah negeri.
"Jika dahulu kita tidak mempunyai satu pun kerusi di Sabah, kali ini KEADILAN telah menang tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah dan satu kerusi Parlimen di Penampang" katanya dalam ucapan yang bertema 'Laksana Satu Nyawa'
Azmin berkata rakyat meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Pakatan Rakyat dalam PRU-13.
Katanya mandat rakyat di 89 buah kerusi Parlimen adalah kejayaan muafakat Pakatan Rakyat.
Menyentuh mengenai isu perpaduan yang berbangkit selepas PRU-13, Azmin menegaskan perpaduan tidak boleh dibina dengan paksaan.
"Perpaduan nasional perlu diasaskan kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan. Justeru itu, sesebuah pemerintahan perlu melibatkan penyertaan yang inklusif serta melaksanakan kebijakan yang adil dan saksama," katanya.
Beliau menyarankan satu muafakat nasional untuk menghapuskan dasar yang berasaskan kaum dan menggantikannya dengan dasar yang berasaskan keperluan.
"Jika tidak ada sesiapa yang merasa dia terpinggir oleh sebab latar belakang etnik, maka keperluan untuk identifikasi kaum secara semula jadi akan terhapus," katanya.
#Azmin Ali #PKR #PRU-13
;