Azmin Ali gagal batal saman 10 pengundi Gombak

Hakim Rahman
Jun 30, 2021 12:48 MYT
Pada 27 November lalu, 10 pengundi di Gombak memfailkan saman terhadap Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang, Februari tahun lalu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal membatalkan saman yang difailkan 10 pengundi di kawasan parlimennya, Gombak.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir menerusi prosiding yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Hakim Akhtar juga tidak membenarkan permohonan 10 pengundi tersebut untuk menyingkirkan sebahagian daripada Pernyataan Pembelaan Azmin terhadap saman mereka.
Peguam yang mewakili 10 pengundi Gombak berkenaan, N Yohendra berkata, hakim juga telah menolak permohonan pembatalan oleh Azmin Ali dan juga permohonan kami dengan kos dalam kausa.
"Ini bermaksud kita harus menjalani perbicaraan. Tarikh perbicaraan adalah 7 hingga 10 Jun 2022 manakala tarikh pengurusan kes untuk mematuhi perintah itu adalah pada 7 April 2022," katanya seperti dilaporkan portal Malaysiakini.
Peguam itu menambah Akhtar turut memutuskan bahawa saman itu melibatkan isu yang tidak boleh diselesaikan dengan permohonan pembatalan, oleh itu perkara tersebut harus melalui perbicaraan penuh.
BACA: 10 pengundi Gombak saman Azmin Ali
BACA: Langkah "Gombak 10" reaksi terhadap kedurjanaan politik - Shahrir Samad
Pada 27 November lalu, 10 pengundi di Gombak memfailkan saman terhadap Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Februari tahun lalu.
Kewajipan fidusiari merujuk kepada hubungan antara pemegang amanah dan penerima manfaat (benefisiari).
Plaintif mendakwa Azmin telah melanggar kepercayaan mereka dengan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam 'Langkah Sheraton' sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan PH, walaupun bekas Menteri Besar Selangor itu berkempen dan memenangi kerusi Parlimen Gombak atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR)/ PH.
Azmin berusaha membatalkan saman berkenaan kerana mendakwa tindakan itu melanggar hak asasinya untuk berpersatuan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
#Azmin Ali #saman #PKR #Pakatan Harapan #Barisan Nasional #Gombak #pengundi
;