Azman Shah: Pemilihan UMNO umpama pertandingan ratu cantik
Astro Awani
Oktober 7, 2013 10:00 MYT
Oktober 7, 2013 10:00 MYT
Syarat yang ketat dalam pemilihan UMNO kali ini yang tidak membenarkan calon berkempen secara sendirian ibarat satu pertandingan mencari ratu cantik.
Begitu yang diluahkan oleh calon Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Azman Shah yang menyifatkan sesi memperkenalkan calon melalui majlis yang dianjurkan oleh badan perhubungan UMNO negeri sebagai pertandingan ratu cantik.
Beliau menjelaskan, calon sepertinya sukar untuk menampil dan memperkenalkan diri berikutan syarat ketat yang ditetapkan oleh jawatankuasa pemilihan dan lembaga disiplin parti.
“Azman menjelaskan syarat yang ketat itu seolah-olah tidak memberi ruang kepada calon tidak popular untuk menonjolkan diri sedangkan calon yang popular menggunakan pelbagai platform untuk tujuan tersebut,” katanya.
Untuk itu katanya sepatutnya perlu ada kombinasi antara calon popular dan tidak dalam kempen pemilihan kali ini.
Turut bersetuju dengan beliau ialah calon exco Pergerakkan Pemuda UMNO, Azlan Abdullah.
Azlan berkata proses demokrasi tidak akan berlaku dalam parti sekiranya sistem ini digunapakai.
“Proses demokrasi tidak boleh berlaku dalam parti. Saya berpendapat bahwa syarat tersebut patut dilonggarkan,” katanya.
Terdahulu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan mengadakan sesi memperkenalkan calon bagi pemilihan peringkat tertinggi UMNO yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dari seluruh negeri.
Kesemua calon naib presiden, Anggota Majlis Tertinggi dan Exco untuk ketiga-tiga sayap parti diperkenalkan Oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Sebelum ini pelbagai rungutan disuarakan termasuk dari Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamed Hassan, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan syarat dan peraturan pada pemilihan kali ini ketat di mana calon tidak dibenarkan berkempen secara sendirian dan bertemu dengan perwakilan.