Azman Adam Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP baharu

Bernama
Januari 14, 2021 19:53 MYT
Azman, yang berasal dari Terengganu berpengalaman luas dalam bidang penguat kuasa dan telah memikul pelbagai tanggungjawab di beberapa negeri sebelum ini. - Bernama
PUTRAJAYA: Timbalan Pengarah (Pencegahan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam dilantik sebagai Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP yang baharu berkuat kuasa pada 5 Jan lepas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan tersebut serta menyempurnakan majlis pemakaian pangkat yang dijalankan secara tertutup.
"Saya yakin beliau akan terus mendokong misi dan visi kementerian dalam keadaan penuh siap siaga dan upaya menyelia pematuhan perundangan di bawah kementerian dalam kalangan peniaga dan prihatin melindungi kepentingan pengguna," katanya.
Azman, 50, yang berasal dari Terengganu itu berpengalaman luas dalam bidang penguat kuasa dan telah memikul pelbagai tanggungjawab di beberapa negeri seperti Ketua Pegawai Penguat Kuasa Selangor sebelum berkhidmat di Ibu Pejabat KPDHEP Putrajaya sebagai Timbalan Pengarah Pencegahan.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Azman pernah menerima anugerah High Performance Award, Mayban Finance Berhad pada 1992 sebelum menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPDNHEP pada 1998, 2005, 2007, 2009 dan 2011.
-- BERNAMA
#KPDNHEP #pengarah penguat kuasa #baharu #Azman Adam #menteri #Alexander Nanta Linggi
;