Azlan Man terima cek lebih RM600,000 daripada syarikat pelancongan - Saksi

Bernama
Julai 18, 2024 10:22 MYT
Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini bagi perbicaraan kes membuat tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram yang dihadapinya. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man menerima tiga cek berjumlah RM629,395.30 daripada sebuah syarikat pelancongan dari 2014 hingga 2016.
Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi pada hari pertama perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu atas 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.
"Terdapat dua lagi kemasukan wang secara dalam talian daripada bank ke akaun Maybank syarikat Sri Kedawang berjumlah RM216,260 pada 19 Dis 2014 dan RM241,295.40 pada 23 Dis 2015," katanya yang mula berkhidmat dalam sektor perbankan pada 1996.
Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Azlan juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta di antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017 di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan boleh didenda lima kali nilai hasil atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.
-- BERNAMA
#Bekas Menteri Besar Perlis #Azlan Man #tuntutan palsu #pengubahan wang haram