Azizulhasni wajar diberi apa sahaja bantuan diperlu - Khairy
Fareez Azman
Jun 23, 2023 20:04 MYT
Jun 23, 2023 20:04 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berpendapat jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang atau lebih dikenali The Pocket Rocketman wajar diberikan apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan beliau menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Khairy yang juga pernah menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan berkata, ini kerana Azizul mempunyai potensi besar untuk memenangi pingat emas dalam temasya sukan terbesar itu.
Malah, temasya berkenaan bakal menjadi medan terakhir buat Juara Dunia Berbasikal Trek Keirin 2017 itu beraksi di pentas Olimpik.
"Azizul ini saya rasa wajar diberikan apa sahaja bantuan yang diperlukan. Kita tahu bahawa temasya Olimpik Paris 2024 adalah temasya terakhir untuk Azizul.
"Jadi kalau dia minta apa pun, ia hanya untuk beberapa bulan sahaja lagi. Bila saya tengok Azizul waktu Asian Cycling Championship dia menang keirin, sprint dia memang ada peluang untuk melengkapkan koleksi pingat dan ada peluang untuk menang pingat emas pada Olimpik Paris 2024," kata Khairy.
Selain Azizul, tambah Khairy pasukan trek berbasikal negara juga boleh dibanggakan dengan pelapis-pelapis yang cemerlang.
"Saya juga salute pemenang lain, termasuk saudara Muhammad Shah Firdaus Sahrom walaupun kemalangan dalam acara keirin tapi kembali memenangi pingat gangsa.
"Juga Muhammad Fadhil Zonis yang menang dalam 1km pursuit menunjukkan pasukan trek kita bukan hanya bergantung Datuk Azizulhasni Awang tetapi mempunyai pelapis meneruskan kecemerlangannya," kata Khairy lagi dalam podcast Keluar Sekejap yang disiarkan pada Jumaat.
Sebelum ini, Azizul meluahkan rasa terkilannya dalam menuntut janji yang masih belum ditunaikan sehingga kini.
Jelasnya, jaminan yang diberikan kepadanya untuk mendapatkan persediaan terbaik di Malaysia sejak meninggalkan Melbourne hujung tahun lalu masih tidak ditepati.
Azizulhasni berkata bahawa dia sudah banyak melakukan pengorbanan tetapi permintaannya seolah-olah dipandang sepi.