Azizul jalani latihan di IDFR anjuran Wisma Putra - Tourism Malaysia

Linawati Adnan
Februari 25, 2014 15:47 MYT
Semua pegawai yang ditugaskan ke luar negara wajib menjalani latihan persediaan selama enam bulan di Institusi Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.
Begitu juga bagi Azizul Raheem Awaluddin, pengarah Tourism Malaysia yang ditugaskan di Stockholm, yang kini, sedang menghadapi pertuduhan melanggar integriti anak-anaknya di Sweden, pernah menjalani latihan di IDFR sebelum berangkat ke luar negara. Ini bermakna Azizul sudahpun membiasakan diri dengan sistem perundangan dan budaya Sweden.
Menurut Wisma Putra yang menerajui IDFR, semua pegawai bertugas samada pegawai kerajaan ataupun pegawai diplomatik akan dilengkapkan dengan latihan teras IDFR iaitu latihan diplomatik serta latihan kemahiran profesional .
Teras latihan yang disediakan, antara lain termasuk polisi luar negara, pengajian pemasaran serta etika bersosial yang dianggap penting bagi semua pegawai bertugas agar dapat melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan dalam menempuh cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam menjalankan tanggungjawab mereka di luar negara.
IDFR merupakan ialah sebahagian daripada Wisma Putra yang menganjurkan program-program latihan dan kemahiran profesional bagi pegawai diplomatik Malaysia, juga bagi pegawai-pegawai kerajaan di bawah kementerian-kementerian ataupun agensi-agensi kerajaan Malaysia.
Datuk Mirza juga berkata, pemilihan pegawai yang dihantar bertugas adalah berdasarkan merit dan bukannya dipilh secara rawak.
“Hanya pegawai yang berprestasi tinggi akan dipilih, juga berdasarkan merit dan pencapaian yang memuaskan sepanjang perkhidmatan di Tourism Malaysia ini,” kata Datuk Mirza.
Azizul dan isterinya Shalwati Nor Shal , seorang guru yang bercuti tanpa gaji untuk mengikuti suaminya bertugas ke luar negara ditahan sejak Disember 2013 aas dakwaan mendera keempat-empat anak mereka yang kini berada di bawah jagaan keluarga terdekat di Kelantan.
Kempat-empat anak mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Hamzah Zainuddin, bulan lepas.
Aishah 14 dan Ammar, 12 kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala sementara Adam 11 dan Arif, 7 tahun kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Padang Kala di Kota Bharu.
Perbicaraan dijangka berlangsung selama 10 hari di Mahkamah Daerah Solna di Stockholm dan akan berakhir pada 12 Mac nanti.
Sweden merupakan negara yang mengharamkan semua bentuk hukuman dera ke atas kanak-kanak sejak 1979.
#anak/children #Azizul Raheem Awalludin #IDFR #Malaysia #Shalwati Nurshal #Sweden #Wisma Putra
;